KOTA KINABALU: Kerajaan membelanjakan sebanyak RM50 sehari bagi pengurusan seorang banduan di negara ini dan usaha mengurangkan beban tersebut sedang dilaksanakan menerusi program pelepasan banduan secara berlesen (PBSL).
Di Sabah, secara purata dianggarkan 150 banduan dibebaskan program PBSL dengan jumlah keseluruhan banduan dibebaskan kira-kira 1,000 orang setakat ini.
Pengarah Penjara Negeri Sabah, Timbalan Komisioner Penjara, Nora Musa berkata, jumlah tersebut adalah yang kedua tertinggi di negara ini selepas Selangor.
“Sabah ini luas dan banyak daerah. Dari segi pencapaian, kita di peringkat Jabatan Penjara Malaysia antara yang teramai dibebaskan melalui PBSL. Saya rasa lebih 1,000 orang telah dibebaskan melalui PBSL untuk tahun ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa program PBSL Ihsan Madani (kepulangan yang dinanti) sempena Krismas di Penjara Pusat Kota Kinabalu, hari ini.
Secara keseluruhan 28 banduan dibebaskan melalui PBSL sempena Krismas pada tahun ini termasuk 14 banduan daripada Penjara Pusat Kota Kinabalu.
Mengulas tentang kesesakan di penjara, Nora berkata, kadar kesesakan penghuni penjara di Sabah semakin terkawal dengan pembukaan sebuah lagi penjara baharu di Lahad Datu pada Oktober lalu.
Katanya, biarpun secara keseluruhan penjara-penjara di Sabah masih lagi mengalami kesesakan namun, kadar kesesakan itu semakin berkurang.
Menurut beliau, apabila Penjara Lahad Datu mula beroperasi, dua institusi penjara paling sesak iaitu Tawau dan Kota Kinabalu telah dipindahkan ke Lahad Datu.
“Sebenarnya kesesakan juga berkurang dibantu oleh faktor banduan-banduan yang menjalani pemulihan dalam komuniti seperti program PBSL.
“Sehingga kini, ramai banduan yang dikeluarkan secara PBSL jadi, kadar kesesakan di penjara dapat dikurangkan,” katanya.
Nora berkata, menerusi program pemulihan dalam komuniti seperti PBSL, banyak banduan yang dikeluarkan lebih awal daripada tarikh dibebaskan. Langkah sebegitu dapat membantu mengurangkan kos pengurusan penghuni penjara.
Jika dilihat kos pengurusan seorang banduan adalah RM50 sehari dan sekiranya penghuni dibebaskan lebih awal maka, kos pengurusan juga dapat dikurangkan. –UTUSAN