Kenyataan Wawasan Bersama, Pelan Pelaksanaan dikeluarkan hari in

Kenyataan Wawasan Bersama, Pelan Pelaksanaan dikeluarkan hari ini

ANWAR Ibrahim dan Wan Azizah Wan Ismail bersama Fumio Kishida serta Yuko Kishida pada majlis makan malam di Geihinkan, State Guesthouse Akasaka Palace, Jepun. - FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin ASEAN dijangka mengeluarkan Kenyataan Wawasan Bersama dan Pelan Pelaksanaan pada akhir sidang kemuncak hari ini.

Memetik laporan Bernama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain dengan menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, hari ini.

Perdana Menteri menjadi pemimpin ASEAN kelima yang tiba pada mesyuarat tersebut dan disambut oleh Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.

Anwar turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd. Ghany dan Ketua Pengarah bagi Sekretariat Kebangsaan ASEAN, Datuk Zanariah Zainal Abidin.

Terdahulu, media melaporkan, Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja ke Jepun untuk menyertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun.

Sidang kemuncak peringatan itu dijangka memperakukan Kenyataan Wawasan Bersama dan Pelan Pelaksanaannya yang menjadi dokumen-dokumen panduan untuk melakar hala tuju strategik perkongsian ASEAN-Jepun untuk masa hadapan.

Anwar juga dijangka mengadakan pertemuan dua hala ringkas dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh selepas sesi pertama iaitu pada 11.20 pagi ini dan pada sebelah petang menghadiri sesi temubual bersama media Jepun: Biro Jakarta Asahi Shimbun dan Nihon Keizai Shimbun.

Perdana Menteri bersama-sama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga akan menghadiri Pre-Gala Commemorative Lighting Ceremony, diikuti dengan majlis makan malam.

Terdahulu, Anwar menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Fumio Kishida dan isteri, Yuko Kishida di Geihinkan, State Guesthouse Akasaka Palace, malam tadi selepas selesai pertemuan rasmi.

Perdana Menteri berkata, majlis makan malam tersebut turut disertai isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa menteri lain.

“Seraya turut diapit Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Kesempatan makan malam itu juga digunakan untuk bertegur sapa dengan rakan pemimpin yang turut sama hadir ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun.

“Dititipkan doa agar hubungan kita, benua ASEAN dan Jepun terus utuh di masa hadapan,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN