Johor bela kebajikan kanak-kanak yatim, dibuang keluarga, OKU

Negeri maju 2030: Johor bela kebajikan kanak-kanak yatim, dibuang keluarga, OKU

ONN Hafiz Ghazi bersalaman dengan anak-anak rumah perlindungan pada majlis Perasmian Rumah Perlindungan Kanak-Kanak TBQ Amal di Johor Bahru, hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor akan terus membela kesejahteraan golongan kurang bernasib baik termasuklah kanak-kanak yatim piatu, kanak-kanak dibuang keluarga serta kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) dalam usaha mencapai negeri maju menjelang 2030.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu perlu menjadi asas dalam membentuk sebuah negeri membangun, di mana keseimbangan sosial masyarakat turut dititikberatkan.

Menurut beliau, pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri tidak bermakna sekiranya realiti segelintir kehidupan rakyat masih terpinggir.

“Johor mempunyai visi untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2030. Kita mempunyai pelbagai harapan dengan bangunan pencakar langit, usaha kosong karbon, sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM260 bilion, tetapi jika perkara asas kehidupan rakyat tidak terjaga, apakah maksudnya?

“Sehubungan itu, kita mahu memastikan kehidupan golongan kanak-kanak ini terbela kerana dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, mereka akan menjadi pelapis dan pemimpin negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Rumah Perlindungan Kanak-Kanak TBQ Amal, di sini hari ini.

Tambah Onn Hafiz, pihaknya menyeru semua anggota masyarakat agar mengambil tanggungjawab bersama-sama untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan golongan kurang bernasib baik di negeri ini.

“Sebagai seorang pemimpin, saya perlu galas tanggungjawab terhadap golongan ini, jika tidak saya akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Oleh itu, saya menyeru orang ramai untuk bersama-sama kerajaan negeri dalam memastikan kehidupan lebih baik buat semua penduduk Johor.

“Kita bukan mahu mencari kesalahan mana-mana pihak sebaliknya mahu perbaiki kekurangan yang ada. Semua antara kita mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat, khususnya buat mereka yang kurang bernasib baik,” jelasnya.

Rumah Perlindungan Kanak-Kanak TBQ Amal menempatkan anak-anak yang berdepan pelbagai cabaran hidup termasuk menjadi mangsa cabul, mangsa keganasan ibu bapa serta dibuang keluarga kandung.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Ambank Islamic, bernombor 8881 04699 0083 atas nama Pertubuhan Kebajikan Tarhim Bil Qalbi Amal Negeri Johor (TBQ Amal).

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi talian 016-7067881. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya