Johari masih terajui pasukan petugas khas selesai isu 1MDB

Johari masih terajui pasukan petugas khas selesai isu 1MDB

JOHARI Abdul Ghani mengimbas kad perakam waktu bagi memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Perladangan dan Komoditi, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengesahkan beliau masih meneruskan tugas sebagai Pengerusi Pasukan Petugas 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) biarpun sudah dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Johari berkata, beliau masih perlu menerajui pasukan petugas khas itu kerana ada isu yang belum diselesaikan terutama bagi mendapatkan semula aset negara yang terkait dengan skandal kewangan itu.

“Insya-Allah buat masa ini, saya kekal (menerajui pasukan petugas khas itu),” katanya ketika ditemui selepas mengimbas kad perakam waktu di lobi KPK tengah hari tadi sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi di kementerian itu.

Mengulas lanjut, Johari berkata, banyak isu sudah diselesaikan cuma, ia masih perlu dipantau kerana masih ada isu tertangguh dengan Kumpulan Goldman Sachs.

“Ketika ini, Goldman Sachs masih lagi tidak memenuhi penyelesaian perjanjian tuntutan yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia pada tahun 2020.

“Selepas dilantik sebagai pengerusi, saya tegaskan bahawa kumpulan pelaburan itu perlu membayar mengikut perjanjian yang sudah dimuktamadkan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, selepas empat kali lanjutan diberikan, mereka (Goldman Sachs) masih belum mahu selesaikan pembayaran pertama membabitkan AS$250 juta.

Johari berkata, ketika ini, kumpulan pelaburan itu membawa isu penyelesaian tuntutan itu ke mahkamah bagi mendapatkan perintah sama ada mereka masih berhutang dengan Kerajaan Malaysia atau tidak.

“Alasan mereka tak mahu bayar adalah mereka anggap setiap penyelesaian yang kita (kerajaan) buat terhadap Ambank dan International Petroleum Investment Company (IPIC) itu sebagai pemulihan aset. Tapi sebenarnya tidak.

“Ia sebenarnya tidak termasuk dalam konsep pemulihan. Pemulihan ialah kita cari benda-benda (aset) diluar sana yang telah hilang melalui 1MDB,” katanya.

Baru-baru ini, Kumpulan Goldman Sachs menyaman Malaysia di mahkamah United Kingdom berhubung perjanjian penyelesaian mengenai peranan bank itu dalam skandal rasuah 1MDB yang membabitkan berbilion dolar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya