Jangan putar belit isu penguasaan bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Jangan putar belit isu penguasaan bahasa Melayu

SAIFUDDIN Nasution Ismail mencuba kenderaan pacuan empat roda baharu milik Stesen Parol Daerah (SPD) yang diserahkan kepada Jabatan Penjara Malaysia semasa pelancaran SPD Jabatan Penjara Malaysia di Slim River hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyelar tindakan pihak tertentu yang didakwa memutarbelit kenyataannya berkaitan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat negara ini bagi permohonan pasport.

Tegas Saifuddin, beliau sama sekali tidak pernah menyatakan bahawa bahasa Melayu merupakan syarat untuk warganegara Malaysia memiliki pasport.

“Saya tidak pernah sebut bahasa Melayu merupakan syarat untuk mendapatkan pasport. Tak kanlah fakta semudah itu, saya naif sehingga tidak tahu.

“Jadi Lawyer for Liberty (LFL) tidak perlu putar belit lebih (isu penguasaan bahasa Melayu),” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Stesen Parol Daerah (SPD) Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kompleks Mini KDN di Slim River di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, tiada penolakan permohonan pasport oleh Jabatan Imigresen disebabkan masalah bahasa malah pada tahun ini sahaja, sebanyak 2.3 juta pasport telah dikeluarkan kepada pemohon.

Katanya, sekiranya terdapat penolakan, ia mungkin disebabkan kesalahan yang dilakukan pemegang pasport hingga menyebabkan permohonan mereka ditolak.

“Sebagai contoh, pemegang pasport Malaysia yang berada di luar negara dan melakukan kesalahan kerana tinggal lebih masa, jadi apabila mereka buat permohonan semula, sudah tentu akan ada semakan.

“Permohonan mereka itu mungkin akhirnya tidak lulus, itu sahaja. Bagaimanapun, (penolakan) disebabkan bahasa memang tiada,” ujar beliau.

Dalam pada itu Saifuddin menegaskan, adalah menjadi kewajipan kepada setiap warganegara untuk menguasai bahasa Melayu.

“Dalam Perlembagaan, bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi manakala bahasa lain bebas dipelajari. Jadi, kita tekankan adalah setiap warganegara Malaysia apabila berurusan di kaunter kerajaan paling rendah boleh berbahasa.

“Kepada LFL atau pihak lain, tidak perlu putar belit sampaikan seolah-olah syarat untuk mendapatkan pasport adalah bahasa. Itu sama sekali tidak pernah diungkapkan.

“Apa yang saya anjurkan adalah setiap warganegara termasuk LFL untuk utamakan bahasa Melayu. Tidak pernah pun jadi amalan Jabatan Imigresen menolak permohonan kerana bahasa,” katanya.

Sebelum ini, Saifuddin mengulas insiden pegawai Jabatan Imigresen yang didakwa mengherdik seorang wanita di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Johor baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, seorang wanita tular dalam media sosial apabila berkongsi pengalaman memperbaharui pasport di UTC Johor.

Wanita itu mendakwa diherdik seorang pegawai lelaki di pejabat imigresen berkenaan kerana tidak fasih berbahasa Melayu ketika mahu memperbaharui pasport anak perempuannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya