JAKIM nafi wujud larangan tulis ucapan perayaan pada kek

JAKIM nafi wujud larangan tulis ucapan perayaan pada kek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan wujud larangan ke atas pemegang sijil halal menulis ucapan perayaan pada kek atau seumpamanya untuk jualan seperti yang ditularkan dalam media sosial.

Jabatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, tiada larangan sedemikian yang dikenakan terhadap semua premis pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Katanya, perkara tersebut juga sudah diperjelas oleh JAKIM sejak 2020 namun dibangkitkan semula.

“Tular dalam media sosial berkenaan isu larangan ucapan ‘Merry Christmas’ pada kek berikutan Memorandum dari Syarikat Berry’s bertarikh 14 Disember 2023 bertajuk ‘Not Allowed To Write The Word of Merry Christmas or X’Mas On Cakes’.

“Untuk makluman semua, isu ini adalah isu yang berbangkit dan sebelum ini ia pernah dijawab oleh JAKIM pada 25 Disember 2020 dan 1 November 2023.

“Sekali lagi ingin dimaklumkan bahawa tiada halangan bagi premis pemegang SPHM untuk menulis sebarang bentuk tulisan berkaitan ucapan perayaan pada kek atau seumpamanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular satu memo bertarikh 14 Disember 2023 dari sebuah kedai roti yang ditandatangani oleh pengurus operasinya mendakwa wujud larangan berkenaan dan pihaknya terpaksa patuh bagi mematuhi serta memenuhi keperluan pensijilan halal oleh JAKIM.

JAKIM menyeru semua pemegang SPHM untuk merujuk kepada pihaknya atau Jabatan Agama Islam negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam negeri (MAIN) sekiranya wujud kekeliruan berkaitan pensijilan halal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN