Palestin: Lebih 30 ahli Parlimen, aktivis politik dan NGO

Isu Palestin: Lebih 30 ahli Parlimen, aktivis politik dan NGO serah nota bantahan di tiga kedutaan

SYED Ibrahim Syed Noh pada sidang media di hadapan bangunan Kedutaan Amerika di ibu negara hari ini. -UTUSAN/MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 38 ahli Parlimen, beberapa aktivis politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa tiga negara iaitu kerajaan Amerika Syarikat (AS), Britain dan Kesatuan Eropah (EU) bagi menyokong gencatan senjata secara kekal, menggalak keamanan dan menyalurkan bantuan kemanusiaan susulan kekejaman zionis Israel terhadap Palestin. 

Sehubungan itu, ahli-ahli Parlimen dan NGO berkenaan telah menghantar nota bantahan di Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara petang tadi menerusinya wakilnya, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh diiringi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar. 

Mereka juga menyerahkan nota bantahan sama kepada Pesuruhjaya Tinggi British dan Duta Besar dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, di sini. 

Syed Ibrahim berkata, beliau telah memberi pandangan serta membaca nota bantahan tersebut secara literal kepada kedutaan AS. 

Katanya, nota bantahan itu telah diterima dan ditandatangan oleh Kaunselor Politik, Christopher Carver. 

Katanya, mereka mendesak kerajaan AS menghentikan segala bantuan ketenteraan secara langsung dan tidak langsung kepada Israel selain lebih bertanggungjawab dan adil dalam menangani konflik Israel-Palestin tanpa berbelah bahagi. 

“Maknanya, tidak hanya melihat dari aspek politik tetapi ambil tindakan tegas supaya dibawa ke muka pengadilan. 

“Kami juga gesa AS menyokong gencatan senjata berkekalan dan segera termasuk memberi bantuan kepada Palestin dan membebaskan semua tahanan termasuk 1,000 kanak-kanak masih terperosok di penjara Israel,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di sini hari ini selepas menyerahkan nota bantahan tersebut. 

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, lebih ramai ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang akan memberi sokongan dan menggesa negara-negara berkenaan menyokong gencatan senjata secara kekal dan menyalurkan bantuan kemanusiaan.

“Dokumen ini masih lagi berjalan dan ramai lagi yang memberi sokongan kepada notis bantahan ini. Ini penting untuk menyokong pendirian Malaysia dan menunjukkan keprihatinan kita terhadap situasi yang berlaku di Palestin,” katanya.

Katanya, Christopher memberitahu bahawa pihaknya akan menyampaikan notis bantahan kepada pihak berkuasa AS dan menyatakan keprihatinan berhubung cara layanan atau tindakan yang dikenakan ke atas rakyat Palestin. 

“Beliau percaya ada pembunuhan kanak-kanak dan wanita untuk tujuan mendapatkan pejuang Hamas. Namun, kami telah sebut penting untuk mereka melihatnya dari aspek kaca mata sebagai seorang manusia,” katanya. 

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, tiada garis masa diberi kedutaaan AS sebagai respons terhadap nota bantahan yang dihantar tadi. 

“Mereka tidak beri garis masa, tetapi mereka akan terus melaksanakan sesi libat urus dengan kami. Itu sikap terbuka yang saya terima, tetapi biasalah, sebagai kedutaan di sini mereka memang bersikap terbuka. Yang penting kita teruskan dengan gesaan kita supaya diambil oleh AS,” katanya. 

Selain itu, beliau telah menyampaikan kepada kedutaan AS bahawa negara itu sebelum ini telah memberi 14.5 bilion dolar dalam bantuan ketenteraan kepada Israel dan tambahan 3.8 bilion dolar yang mereka telah terima sejak 2019. Ini adalah 16 peratus daripada bajet ketenteraan Israel untuk 2022.

“Maknanya, jumlahnya sangat besar dan kami sebut sekarang penduduk Palestin hilang tempat tinggal dan 1.9 juta orang iaitu 80 peratus daripada penduduk Gaza tiada tempat tinggal. 

“Kami juga sebut ramai yang meninggal dunia tapi tiada pengebumian diberi dan masih perlukan rawatan khususnya kanak-kanak, wanita untuk mendapatkan bantuan perubatan dan makanan,” katanya.  

Sementara itu, Nurul Izzah berkata, terdapat satu sesi perbincangan berkaitan tindakan Israel ke atas Palestin menggunakan saluran Mahkamah Keadilan Antarabangsa (CJ) yang dianjur oleh Kementerian Luar Negeri pada Rabu depan. 

“Kita harus faham mengapa kita bersuara. Dalam 30 tahun tidak pernah lagi artikel 99 dipetik oleh Persatuan Bangsa-Bangsa (PBB). Maksudnya sudah jadi skala global. Pemangsaan dan pembunuhan beramai-ramai. Maka kita harus berdiri dan mendukung agar berlaku gencatan senjata berkenaan dan menamatkan genosid,” katanya.  –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya