Pecat Isham Jalil kerana 'cross the line' 

Isham Jalil dipecat kerana melangkaui batas -Khaled 

MOHAMED KHALED Nordin (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perancangan Pembangunan Bandar Kota Tinggi antara Majlis Daerah Kota Tinggi dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) - Institut Sultan Iskandar (ISI) di pejabat Majlis Daerah Kota Tinggi di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Tindakan pemecatan ke atas bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil adalah disebabkan oleh masalah disiplin yang dihadapinya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai sebuah parti yang besar, UMNO perlu memastikan tindak tanduk ahlinya tidak menggugat parti.

“Saya ingat itu (pemecatan Isham Jalil) disebabkan masalah disiplin. Mana-mana parti pun terutama UMNO sebagai parti yang besar kita perlu pastikan tindak tanduk seseorang ahli yang menggugat parti ataupun bercakap sesuka hati bila dia cross the line majlis tertinggi berpendapat ada banyak cara pendekatan lebih-lebih lagi dia adalah MKT.

“Perlulah parti mengawal tindak tanduk kalau tidak semua orang jadi macam dia tentu parti akan bermasalah. 

“Jadi, ini soal menguruskan disiplin ahli-ahli. Kita mesti tahu berorganisasi dan malanglah terpaksa diambil tindakan begitu,” katanya. 

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perancangan Pembangunan Bandar Kota Tinggi antara Majlis Daerah Kota Tinggi dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – Institut Sultan Iskandar (ISI) di pejabat Majlis Daerah Kota Tinggi di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Isham mendakwa menerima surat pemecatannya pada lewat malam, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 6 Disember, bersetuju memecat Isham daripada parti dipercayai susulan kritikannya terhadap parti, yang dilihat bertentangan dengan pendirian UMNO sebelum ini dalam usaha memperkukuh Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu Isham memaklumkan menerima surat pemecatannya lewat malam semalam dan memaklumkan beliau tidak akan membuat rayuan kepada kepimpinan tertinggi.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi diatas pelantikan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang baharu bagi menggantikannya.

Katanya, beliau berharap Onn Hafiz dapat mengimbangi tugas dan tanggungjawab selain terus menarik sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Katanya, menerusi sokongan itu, kerajaan dapat menterjemahkan segala hasrat dan aspirasi parti supaya perkara-perkara yang diperjuangkan dapat dijadikan asas-asas dan dasar kerajaan.

“Memang wajar sebagai Menteri Besar di Johor siapa jadi Menteri Besar dia sepatutnya juga ambil tanggungjawab untuk jadi pengerusi badan perhubungan.

“Lepas PRU13, saya jadi pengerusi perhubungan sebab menang pemilihan manakala Datuk Onn Hafiz dan Datuk Seri Hasni Mohamad tidak duduk dalam MKT, jadi saya pengerusi perhubungan dan saya percaya itu sementara sehinggalah presiden rasakan sesuai untuk menteri besar jadi pengerusi perhubungan. 

“Jawatan pengerusi perhubungan adalah hak dan budi bicara presiden jadi tiada masalah bagi saya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN