Imigresen nafi dakwaan kebanjiran warga China di lapangan terbang

Imigresen nafi dakwaan kebanjiran warga China di lapangan terbang

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menafikan dakwaan kononnya berlaku kebanjiran pelancong warga China di lapangan terbang antarabangsa di negara ini seperti tular di media sosial.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya mengesan video tular yang mendakwa berlaku kesesakan di lapangan terbang akibat dibanjiri pelancong warga China.

Tegas beliau, rakaman itu adalah video lama yang berlaku pada 2022 di Dewan Bas, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru, Johor.

“Ia adalah semasa pintu masuk negara mula dibuka selepas sekatan pergerakan rentas sempadan akibat Covid-19 ditamatkan.

“Video itu dirakam semasa pergerakan masuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

“Justeru, kita ingin menafikan bahawa rakaman terbabit dibuat di lapangan terbang antarabangsa negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mengikut rekod, pergerakan keluar dan masuk di BSI secara purata adalah 250,000 orang pada hari biasa dan akan meningkat sekali ganda pada musim perayaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Sila layari portal rasmi dan akaun media sosial rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini berkaitan jabatan ini,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 17 saat menunjukkan keadaan sesak dengan orang ramai yang didakwa berlaku di lapangan terbang antarabangsa di negara ini yang tular di media sosial.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN