Imej Muslimah tapi ‘selera’ masih Hip Hop - Utusan Malaysia

Imej Muslimah tapi ‘selera’ masih Hip Hop

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPURNA menutup aurat kini, tiada siapa dapat menyangkal bahawa penampilan penyanyi, Zizi Kirana sangat indah dipandang persis seorang Muslimah sejati. 

Sejak membuat keputusan untuk membuang imej lamanya yang seksi, umum pun tahu bahawa Zizi kelihatan begitu selesa dengan imej terkini yang berupaya menyejukkan setiap mata yang memandang. 

Bagaimanapun, satu persoalan yang sering ingin ditanyakan, adakah menerusi penampilan begini memungkinkan Zizi untuk mencuba mengubah genre muzik yang dibawakan dalam cabang kerjaya seni nyanyiannya? 

Bukan apa, sebelum ini ramai tahu Zizi cukup petah mengalunkan bait katakata dengan cara rap, dan Hip Hop pula menjadi paksi genre muzik yang selesa dibawakannya sepanjang membina kerjaya seni. 

Maka seiring waktu, sudah tentu akan wujud tanda tanya dalam kalangan peminat adakah Zizi akan berterusan menjadikan Hip Hop genre muzik keutamaan sedangkan ia barangkali dilihat tidak sesuai dengan imej Muslimah yang dibawanya kini. 

Tenang memberi jawapan, kata penyanyi berusia 38 tahun ini,secara peribadi, dia tidak melihat genre muzik harus diubah hanya kerana mahu mengikut kesesuaian imej. 

“Sudah tentu saya sedar mengenai hal ini. Namun untuk mengubah genre muzik Hip Hop yang saya bawa rasanya bukan satu keperluan. Saya pun sudah bertanya dengan ustazah dan agamawan. 

“Mereka pun galak saya teruskan saja nyanyi lagu rap sebab boleh juga berdakwah menerusi medium itu. Tak salah pun cuma mungkin tukar lirik kepada yang lebih sesuai. 

“Tak adalah nak nyanyi lagu pasal kena kecam ke apa ke. Boleh ubah kepada lirik yang menyampaikan kebaikan,” katanya. 

Tambah Zizi, dia sebelum ini pernah ter kir kemungkinan peminat tidak lagi menyokong sekiranya dia tidak menyanyikan lagu-lagu rap dan Hip Hop. 

Pada masa yang sama, kata Zizi, dia sedar untuk menyanyi rap dan melakukan aksi secara berlebihan bukanlah satu tindakan yang sesuai dengan imej yang dibawakan kini. 

“Sebenarnya, saya sendiri tengah melatih diri untuk membuat persembahan secara duduk. Tak sesuailah kalau saya pun nak beria-ia rap macam dulu di pentas. 

“Ini satu benda baharu yang saya mahu cuba. Sebab kadang-kadang bila tengah rap, terlupa juga yang kita ini sudah menutup aurat penuh, jadi kena sopanlah bukan. 

“Kalau rap duduk pun okey sebab nyanyian begini umpama kita sedang bercerita dengan pendengar. Tak banyak pergerakan pun tak mengapa sebab kita boleh fokus kepada lirik yang disampaikan,” katanya lagi. 

MAHU ISTIQAMAH 

Dalam pada itu, menjelang tahun baharu yang berbaki lebih kurang 10 hari lagi, Zizi turut menyimpan hasrat untuk berusaha memperbaiki kelemahan diri. 

Katanya, sebagai seorang hamba-Nya yang kerdil, sudah tentu dirinya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan meskipun di mata orang, dia dilihat sempurna menutup aurat. 

Bahkan, satu perkara yang tidak mustahil dan paling dibimbanginya adalah sekiranya hati berbolak-balik dalam melakukan kebaikan. 

“Sebenarnya, setiap hari saya berdoa supaya dapat kekal dan cekal istiqamah ke jalan yang saya lakukan ini. Saya sentiasa harap Allah SWT sentiasa membimbing ke jalan yang betul. 

“Sebab kita ini seorang manusia biasa. Tidak mustahil hati itu adakalanya boleh berbolak-balik. Maka saya sentiasa doakan agar Allah pegang hati ini. 

“Itu antara matlamat dalam hidup saya,” katanya. 

Selain itu, jelas Zizi, sebagai perancangan untuk tahun baharu kelak, dia bersama suami, pelakon, Yusuf Bahrin, komited mahu menceburi bidang perniagaan minyak wangi. 

Katanya, minyak wangi di bawah jenama Qamar itu telah diusahakannya dengan Yusuf sejak pertengahan tahun ini secara kecil-kecilan. 

“Boleh dikatakan menceburi bidang perniagaan ini adalah sesuatu yang baharu buat saya. Saya cuma keluarkan beberapa wangian sahaja sebagai percubaan, tidak banyak. 

“Tetapi sambutan boleh dikatakan menggalakkan. Jadi saya dan Yusuf rancang untuk tumpu pada bisnes ini pada tahun depan,” katanya. 

Untuk info, Zizi dan Yusuf mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN