KUANTAN: Seorang ibu merayu anak bongsunya yang menghilangkan diri di Singapura sejak enam tahun lalu supaya kembali kepangkuan keluarganya yang menetap di daerah ini.
Ibu terbabit, Chang Moi Lin, 67, berkata, dia bimbang keselamatan anaknya, Chin Kim Choy, 40, yang langsung tiada khabar berita setelah kali terakhir berhubung pada 2017.
Katanya, Kim Choy yang bekerja di Singapura sejak 2007 secara tiba-tiba memutuskan hubungan dengan keluarganya dan gagal dihubungi.
“Kali terakhir saya menghubunginya pada 2017, saya ada bergurau dengan dia pasal duit. Saya kata, dia sudah bekerja tapi tidak pernah belanja emak.
“Tapi beberapa bulan selepas itu dia terus menghilangkan diri. Dia menyekat nombor telefon termasuk Facebook bukan sahaja saya malah dua abang dan kakaknya,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di sini.
Moi Lin berkata, selepas anak bongsunya itu yang mesra dipanggil Ah Choy memutuskan hubungan dengan keluarganya, dia meminta anak pertama dan keduanya yang turut bekerja di Singapura untuk menjejaki adik mereka.
“Ah Choy sejak kecil seorang yang pendiam dan tidak banyak cakap. Dia cuma beritahu saya dia bekerja di sebuah restoran di Singapura tapi tidak beritahu di mana dia tinggal dan tempat kerjanya.
“Puas abang-abangnya mencari sehinggakan anak sulung saya beritahu sudah tidak perlu cari. Kalau dia (Ah Choy) masih ingat emak, dia akan pulang,” katanya.
Namun sekitar tahun lalu, beliau mengambil keputusan membuat laporan polis di Singapura kerana bimbang anak bongsu daripada empat beradik itu menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
“Tahun lalu banyak kejadian rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket. Saya bimbang anak saya, jadi saya minta abangnya membuat laporan polis di Singapura.
“Polis di Singapura dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) beritahu tiada rekod anak saya keluar dari Singapura,” ujarnya yang memberitahu turut membuat laporan polis di Kuantan awal bulan lalu.
Wanita itu merayu mana-mana individu yang mengenali anak bongsunya memaklumkan tentang keberadaan Ah Choy dengan menghubunginya di talian 016-6263125.
“Kepada Ah Choy, emak hendak cari kamu. Kamu sudah lama tidak berjumpa dengan emak. Kamu punya hati (sayang) ada emak lagi tak?” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia Antarabangsa (MHO), Daniel Khoo berkata, Moi Lin menghubungi pertubuhan tersebut bagi mendapatkan bantuan dan pihaknya kini sedang mendapatkan maklumat daripada JKDM dan Jabatan Imigresen bagi menjejaki Ah Choy. – UTUSAN