PETALING JAYA: Hujan berterusan dijangka berlaku di selatan Semenanjung dan utara Sabah bermula Sabtu ini sehingga 23 Disember depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah berkata, keadaan itu disebabkan luruan monsun yang dianalisis berdasarkan model-model cuaca.
“Pada masa sama, penumpuan angin juga dijangka berlaku di utara dan tengah Sarawak sehingga 17 Disember 2023 yang berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh lebih panjang.
“Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam,” katanya dalam kenyataan.
Muhammad Helmi menasihatkan orang awam supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – UTUSAN