'Hisap rokok dalam bilik selepas bunuh bapa'

‘Hisap rokok dalam bilik selepas bunuh bapa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dibebaskan daripada pertuduhan membunuh bapanya selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam dekat sini memutuskan dia tidak waras ketika memukul mangsa dengan kayu dan menetaknya dengan pisau pemotong daging, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Wendy Ooi Su Ghee bagaimanapun memerintahkan Jamil Tawasil, 38, diletakkan di bawah penjagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana yang diperkenankan oleh Sultan Selangor.

Beliau berpuas hati tertuduh melakukan perbuatan yang menjadi asas kepada pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mahkamah mendapati biarpun tertuduh telah membunuh bapanya, namun dalam keadaan akal tidak waras, dia tidak berupaya mengetahui keadaan dan perbuatannya itu salah atau berlawanan dengan undang-undang,” ujar hakim berkenaan.

Wendy Ooi mencapai dapatan itu berdasarkan fakta kes bahawa Jamil dilihat duduk dalam biliknya sambil menghisap rokok ketika polis tiba di rumah berkenaan.

Mahkamah berpendirian dia tidak waras kerana lelaki itu bukan sahaja tidak melarikan diri, malah tidak bertindak melupuskan pisau pemotong daging dan kayu yang digunakannya.

“Apabila ditanya polis apa yang telah dilakukannya, tertuduh memberitahu tidak tahu apa-apa kerana sedang tidur dalam bilik,” demikian menurut penghakiman bertarikh 28 November lalu yang diperolehi pihak media daripada laman web mahkamah hari ini.

Jamil disabitkan membunuh Tawasil Sinag, 68, di sebuah rumah di Taman Puteri Taragon, Batu 9 Cheras, Hulu Langat dekat sini di antara pukul 11 malam dan 11.15 malam, 9 November 2019.

Keterangan kes antara lain menyatakan, pada malam kejadian, ibu tertuduh yang juga saksi pendakwaan pertama (SP1) terjaga dari tidur selepas mendengar jeritan suaminya:  “Jangan apa ini, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah.”

Wanita itu keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu serta melihat Jamil sedang memegang kayu dan menghayunnya ke kepala bapa yang sedang duduk atas lantai.

Melihat kejadian tersebut, ibu tertuduh berlari ke arah pondok pengawal keselamatan meminta pertolongan.

Polis yang tiba di rumah itu mendapati mangsa terbaring berlumuran darah atas lantai dalam keadaan separuh sedar dan mengalami luka di bahagian muka dan kepala manakala jari telunjuk tangan kanannya putus terkena tetakan pisau.

Seorang anggota polis menendang pintu bilik Jamil sehingga terbuka dan melihat lelaki itu sedang duduk atas lantai sambil menghisap rokok.

Hasil pemeriksaan terhadap mangsa mendapati lelaki itu mengalami retakan pada tulang tangan kanan dan jari telunjuk tangan kanan putus manakala punca kematian akibat trauma tumpul di kepala.

Laporan perubatan forensik psikiatri bertarikh 31 Disember 2019 menyimpulkan bahawa Jamil menghidap skizofrenia dan berada dalam kedaaan tidak waras dan tidak sedar di atas sifat dan akibat perbuatannya.

Laporan itu turut menyatakan tertuduh mengalami delusi syak wasangka, delusi ganjil berkenaan dirinya, delusi pertukaran identiti selain mendengar bisikan suara halus dan halusinasi visual.

“Tertuduh mengaku terdesar suara dalam kepala yang memberitahunya agar melakukan perbuatan itu serta mengarahkannya mengambil pisau pemotong daging dan kayu di dapur.

“Berdasarkan pemeriksaan mental tertuduh dan keterangan pegawai penyiasat menunjukkan lelaki itu nampak lembaga atau kayu dan bukan bapanya yang terbaring di ruang tamu,” demikian menurut penghakiman itu.

Penghakiman tersebut selanjutnya menyatakan, Jamil kemudian dirujuk di Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 21 November 2019 untuk pemeriksaan mental.

Bagaimanapun keadaan mentalnya bertambah baik selepas diberi rawatan dan layak dibicarakan di mahkamah dan mampu membela diri.

Keterangan kes turut menyatakan tertuduh pernah menghidap skizofrenia dan mendapat rawatan di Klinik Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kuala Lumpur di antara 2011 dan 2014 serta di Hospital Kajang.

Ibu tertuduh turut mengakui Jamil tidak meneruskan rawatan susulan yang diarahkan sehingga gejala yang dialaminya bertambah teruk mengakibatkan lelaki itu selalu mengurung diri, berkelakuan pelik dan mengabaikan penjagaan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN