PETALING JAYA: Guru yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran mengajar subjek bertaraf universiti mampu dijadikan sebagai guru tingkatan enam walaupun mempunyai Gred 41.
Setiausaha Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Mohd. Azizee Hasan berkata, jika jawatan guru tingkatan enam hanya terhad kepada Gred 44 ke atas, maka masalah kekurangan guru di kelas tersebut berpanjangan.
Katanya, Kementerian Pendidikan wajar mempertimbang guru bergred 41 untuk ditempatkan sebagai guru tingkatan enam, selaras bagi memenuhi keperluan pelajar dalam menyempurnakan sesi pengajaran dan pembelajaran.
“Bagaimanapun, pengambilan tersebut harus dengan syarat guru berkenaan telah disahkan jawatan tetap dan mempunyai kriteria yang melayakkan mereka menjadi guru tingkatan enam,” katannya kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, kekurangan guru tingkatan enam iaitu Gred 44 daripada aliran perdana menyebabkan kesukaran sekolah terlibat untuk menambah tenaga pengajar.
Justeru, bagi menyelesaikan masalah tersebut, Kongres menyarankan kementerian melonggarkan syarat guru tingkatan enam dengan membuka peluang kepada guru Gred 41 bagi mengisi kekosongan berkenaan.
Mohd. Azizee berkata, difahamkan subjek tingkatan enam memerlukan kepakaran daripada tenaga pengajar dengan lebih kursus.
Beliau yang juga merupakan Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) berkata, semua pihak harus faham tingkatan enam yang dikenali sebagai pra-universiti juga boleh diajar oleh mereka yang mempunyai pengalaman menjadi pensyarah.
“Oleh itu, sebagaimana siswazah baharu kursus pendidikan juga boleh memohon untuk menjadi pensyarah di institusi pengajian tinggi, maka tiada masalah bagi Gred 41 untuk mengajar pelajar tingkatan enam,” katanya. – UTUSAN










