BINTANGOR: Enam sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan berusia lima bulan selamat dalam kebakaran di Telok Batu Sungai Sian di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor Nicholas Belulin berkata, dalam kejadian itu kesemua mangsa berada di rumah panjang berhampiran yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kebakaran.
“Sebuah rumah jenis tidak kekal yang didiami mereka musnah dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu.
“Salah seorang bergegas pulang ke rumah selepas diberitahu rumah mereka terbakar. Bagaimanapun kediaman itu sudah musnah 80 peratus.
“Akibat kejadian mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda di dalam rumah itu,” katanya.
Menurut Nicholas, pihaknya menerima laporan pada jam 1.41 petang sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi untuk melakukan operasi pemadaman.
“Bagaimanapun setibanya di lokasi, rumah itu sudah terbakar 95 peratus. Kita hanya melakukan operasi susulan bagi memastikan api padam sepenuhnya.
“Setakat ini, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.-UTUSAN










