TEMERLOH: Polis menahan tiga penuntut institusi pengajian tinggi dan seorang pelajar berusia antara 15 hingga 22 tahun yang dipercayai melakukan aksi ‘Superman’ serta menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Polis Mazlan Hassan berkata, bertindak atas maklumat berkaitan video berdurasi 28 saat berhubung kes itu, polis menahan mereka di sekitar Temerloh dan Maran kira-kira pukul 4.42 petang semalam.
Katanya, tangkapan dibuat selepas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Temerloh mengesan pemilik serta alamat lengkap penunggang motosikal sekali gus menahan mereka bersama empat buah motosikal.
“Mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Temerloh dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mazlan berkata, aksi mereka menunjuk lagak di jalan raya sebelum berlaku kemalangan yang tular dalam media sosial menarik perhatian netizen.
“Rakaman video itu menunjukkan aksi berbahaya melibatkan beberapa buah motosikal yang mana aksi tersebut membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,` katanya.
Menurutnya, berdasarkan rakaman itu yang dirakam oleh salah seorang mereka menunjukkan sebuah motosikal terbabas selepas hilang kawalan disusuli beberapa motosikal lain.
‘Ketika ditahan, mereka mempunyai kesan kecederaan di tangan, bahu, lutut dan punggung yang dipercayai akibat kemalangan ketika melakukan aksi berbahaya itu,” katanya. – UTUSAN