Dua wanita antara 4 suspek terbabit kes curi motosikal di sekitar Selangor

Dua wanita antara 4 suspek terbabit kes curi motosikal di sekitar Selangor

ANTARA komponen motosikal dipercayai dicuri empat individu yang bergiat aktif di sekitar Selangor. - GAMBAT IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua wanita antara empat individu ditahan polis semalam selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar Selangor sejak beberapa bulan lalu. 

Kesemua suspek berusia antara 28  hingga 49 tahun itu dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah itu di Ampang, Serdang dan Sepang  ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah(IPD) Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, siasatan dijalankan susulan pihaknya menerima laporan melibatkan kehilangan motosikal milik seorang individu, 26 Disember lalu di kawasan parkir Kampung Tasik Permai, Ampang di sini.

Katanya, mangsa sebelum itu meletakkan motosikal jenis Yamaha Y125ZR di lokasi berkenaan kira-kira 4.30 pagi sebelum mendapati motosikalnya itu tiada pada 9.30 pagi.

“Mangsa sebelum itu cuba mencari motosikalnya di sekitar kawasan terbabit sebelum membuat laporan polis.

“Siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada penangkapan empat individu di Jalan Bukit Kemuning, Batu Lapan semalam.

“Kesemua suspek tidak bekerja itu diberkas setelah dipercayai terlibat dalam kecurian motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, semakan dijalankan mendapati tiga daripada empat suspek memiliki pelbagai rekod jenayah lampau.

Ujar beliau, kumpulan terbabit dipercayai menjalankan kegiatan mencuri motosikal sejak tiga bulan lalu dengan menyasarkan motosikal yang diletakkan di kawasan terbuka.

“Polia turut merampas empat buah motosikal, topi keledar, pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk mencuri, telefon bimbit, komputer riba dan pelbagai komponen motosikal.

“Semakan terhadap motosikal yang dirampas mendapati masih dilaporkan hilang di dalam negeri Selangor melibatkan daerah Ampang, Serdang dan Sepang,” katanya

Tambahnya, kesemua suspek direman empat hari bagi siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya