Bukit Aman gempur 13 premis judi haram di Selangor, Sabah

Bukit Aman gempur 13 premis judi haram di Selangor, Sabah

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengempur sebanyak 13 premis yang menjalankan aktiviti perjudian di Selangor dan Sabah dalam operasi Dadu Khas pada 1 hingga 2 April lalu.

Operasi yang dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Kontinjen dengan menyasarkan premis yang berselindung di sebalik sebalik lesen Pusat Hiburan Keluarga (PHK) dan Pusat Hiburan Interaktif (PHI) dengan menawarkan perjudian dalam talian menggunakan tablet serta menyalahgunakan lesen e-sukan.

Menerusi serbuan itu, sebanyak lapan premis telah diserbu di Seri Kembangan dan Klang Utara, Selangor serta lima premis di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan, Sabah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, premis-premis itu didapati cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mempamer dan mengiklankan premis mereka dengan lesen berbentuk aktiviti PHK yang secara lazimnya menawarkan khidmat permainan simulator untuk kanak-kanak.

Katanya,sepatutnya ada permainan bowling atau permainan kanak-kanak lain sebaliknya aktiviti dalam premis ini adalah peralatan komputer yang menganjurkan aktiviti perjudian.

“Dalam operasi ini seramai 52 penjaga premis dan pemain perjudian terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing ditahan dalam serbuan di Selangor, manakala 11 lagi penjaga dan pemain ditahan di Sabah.

“Kesemua yang ditahan dalam operasi di kedua-dua negeri berusia antara 20 hingga 75 tahun,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pihak polis turut merampas tablet, peralatan komputer, mesin perjudian serta wang tunai dalam kesemua serbuan yang dibuat.

Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(c), Seksyen 6(1) akta yang sama, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama.

Jelasnya, operasi akan diteruskan tanpa henti dan turut memberi amaran keras kepada penganjur serta sindiket-sindiket yang menawarkan aktiviti judi sedemikian untuk tidak cuba ‘menghidupkan’ kembali aktiviti perjudian di negara ini.

“Saya telah beri arahan kepada semua Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) di setiap kontinjen di seluruh negara, untuk memantau dan memastikan sebarang aktiviti perjudian dibanteras secara habis-habisan,” katanya.

Katanya, JSJ turut tidak menolak kemungkinan bahawa sindiket perjudian pada masa ini sedang cuba menjalankan semula aktiviti premis perjudian.

“Apa yang saya lihat trend pada masa ini adalah sindiket cuba beralih kepada aktiviti permainan mesin perjudian berbentuk besar seperti simulator dan komputer riba, sama besar seperti skrin televisyen bersaiz 36 inci.

“Saya ingin beri peringatan bahawa dalam elemen perjudian ini, pemain pastinya akan mengalami kerugian selepas membuat pertaruhan sehingga ribuan dan jutaan ringgit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN