KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri menyasarkan untuk membuka dua lagi pusat penempatan khas anak-anak tahanan imigresen, Baitul Mahabbah di Tanah Merah, Kelantan dan Miri, Sarawak secara berperingkat.
Pembukaan dua pusat penempatan itu sebagai tambahan kepada dua Baitul Mahabbah yang telah mula beroperasi masing-masing satu di Depot Tahanan Imigresen Nilai, Seremban dan Depot Tahanan Imigresen Papar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Baitul Mahabbah Papar yang dilancarkan pada hari ini menempatkan 62 orang anak-anak tahanan termasuk penjaga.
Beliau berkata, kementeriannya menerima peruntukan berjumlah RM10 juta menerusi belanjawan baru-baru ini bagi pembukaan empat pusat penempatan khas bagi memberi keselesaan kepada kanak-kanak yang berada di pusat tahanan imigresen.
“Kita sedang tengok premis Depoh Tanah Merah, kita akan buat semakan dan profiling dan tengok keadaan manakala, di Sarawak adalah di Miri.
“Kita mempunyai 19 depot tahanan imigresen di seluruh negara yang mampu menempatkan 20,000 orang dan sekarang terdapat 12,400 orang ditempatkan di depot tahanan,” katanya semasa melancarkan Baitul Mahabbah di Depot Tahanan Imigresen Papar hari ini.
Katanya, pada masa ini terdapat kira-kira 1,400 kanak-kanak berusia bawah 18 tahun berada di depot tahanan di seluruh negara.
Pusat penempatan khas itu diwujudkan setelah mengambil kira keadaan asal pusat tahanan kurang kondusif untuk didiami kanak-kanak.
“Tempoh mereka berada di pusat penempatan khas ini bergantung kepada dokumen perjalanan yang disediakan oleh kedutaan mereka.
“Semasa mereka berada di sini, menjadi tanggungjawab kita terutama dengan penghayatan prinsip atau kerangka Malaysia Madani iaitu nilai ehsan dan prihatin jadi, melalui Mapo (Majlis Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran) kita terjemahkan dengan mewujudkan projek sebegini,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, pusat penempatan khas yang mampu menempatkan 150 orang kanak-kanak itu turut menyediakan khidmat pendidikan asas kepada anak-anak tahanan itu tidak membabitkan sebarang perjawatan baharu.
Katanya, kakitangan Jabatan Imigresen yang bertugas di depot tahanan akan mengajar asas untuk anak-anak tahanan itu mengenal huruf. –UTUSAN