PETALING JAYA: Siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, menemukan petunjuk baharu apabila dua saksi mendakwa melihat kanak-kanak autisme itu berada seorang diri di koridor sekitar Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai, dekat sini pada hari kehilangannya, 5 Disember lalu.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan keterangan mereka, kanak-kanak autisme itu dilihat berada di sekitar koridor di tingkat dua dan tingkat tiga di Blok R iaitu kediaman keluarga Zayn Rayyan antara pukul 5 hingga 5.30 petang.
“Berdasarkan pemeriksaan rumah ke rumah dilakukan polis, dua kanak-kanak melihat Zayn Rayyan di tingkat dua dan tiga di blok R.
“Dia dilihat seorang diri di koridor itu kira-kira lima jam selepas dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Apabila ditanya sama ada keterangan kanak-kanak tersebut boleh diguna pakai bagi menjejak petunjuk kes Zayn Rayyan, beliau mengakui, ia boleh membantu siasatan.
“Keterangan dua kanak-kanak itu termasuk 38 lagi keterangan baharu yang diambil polis menjadikan jumlah keseluruhan seramai 86 orang. Masih ada lagi keterangan yang perlu diambil bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurut Hussein, polis mengambil sebanyak 10 lagi sampel asid deoksiribonukleik (DNA) melalui secara besar-besaran membabitkan penduduk Apartment Idaman.
Katanya, jumlah terkini sampel DNA yang diambil membabitkan 238 individu dan proses pengambilan sampel itu diteruskan bagi membantu siasatan.
Difahamkan, keterangan dua saksi kanak-kanak itu antara petunjuk baharu apabila polis semalam turut membuat lakonan semula kejadian daripada hari pertama kehilangan Zayn Rayyan ketika menaiki tangga pada 5 Disember sehingga dia ditemukan di sungai dalam belukar berhampiran Apartment Idaman pada 10 malam, keesokan harinya.
Lakonan semula dipercayai dilakukan bagi mencari petunjuk baharu berdasarkan keterangan-keterangan diambil selain bukti-bukti diperoleh berkaitan kes tersebut.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, sehelai stoking ditemukan di dalam kolam di kawasan takungan air di anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan namun tidak dapat dipastikan sama ada ia milik kanak-kanak malang itu atau sebaliknya.
Hussein dilaporkan berkata, stoking berkenaan antara barangan dan objek yang perlu dihantar ke makmal untuk analisis lanjut.
“Kita (polis) jumpa sehelai sahaja tetapi perlu buat pengesahan lanjut sama ada kepunyaan mangsa atau bukan,” katanya. – UTUSAN










