Noor Hisham bantu kemudi kejayaan berterusan IJN

Dr. Noor Hisham bantu kemudi kejayaan berterusan IJN

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelantikan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah  sebagai pengerusi baharu Institut Jantung Negara (IJN) Sdn. Bhd. merupakan satu usaha menyampaikan penjagaan kesihatan dan inovasi perubatan yang luar biasa kepada pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim dalam kenyataannya berkata, pelantikan tersebut akan menjadi aset kepada kejayaan berterusan IJN kerana peranan kepimpinan dan pengalaman Dr. Noor Hisham dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Dr. Noor Hisham juga mempunyai kemahiran tadbir urus yang luar biasa, ditambah pula dengan komitmennya terhadap penjagaan tertumpu kepada pesakit.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Dr. Noor Hisham atas peranan baharunya bersama kami di IJN, saya yakin perspektif berwawasan beliau akan membantu mengemudi IJN ke arah yang lebih tinggi,” katanya.

Dengan sokongan Lembaga Pengarah yang dihormati dan kakitangan yang berdedikasi, IJN kekal fokus untuk memajukan kesejahteraan pesakit dan menerima inovasi dalam landskap penjagaan kesihatan yang sentiasa berkembang.

IJN bersedia untuk terus berkembang maju, mentakrifkan semula standard penjagaan kesihatan dan memberi kesan positif kepada kehidupan mereka yang menggunakan khidmatnya.

Dalam pada itu, Aizai Azan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Dr. Abdul Rozali A Wathooth, yang telah berkhidmat sebagai Lembaga Pengarah sejak 6 Februari 2006 dan sebagai Pengerusi IJN sejak 29 November 2019.

Katanya, sepanjang tempoh perkhidmatan Dr. Abdul Rozali, beliau telah menyumbang kepada kejayaan IJN dengan semangat yang tidak berbelah bahagi dan membantu mengekalkan reputasi IJN sebagai penyedia penjagaan kesihatan terulung.

“Mewakili pihak IJN, terima kasih juga diucapkan kepada Dr. Abdul Rozali atas sumbangannya yang sekian lama dan legasi beliau akan terus memberi inspirasi kepada kami pada masa hadapan,” katanya.

HABIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN