DEWAN NEGARA: Lebih 9,031 individu berjaya kurus

DEWAN NEGARA: Lebih 9,031 individu berjaya kurus

LUKANISMAN AWANG SAUNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 9,031 individu dilapor berjaya menurunkan berat badan setakat ini melalui Program Pengurusan Berat Badan IFitEr (I Fit and Eat Right) yang merupakan inisiatif intervensi kesihatan yang dilaksanakan di 30 hab kesihatan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, sejumlah 4,846 klien pula berjaya berhenti merokok melalui inisiatif intervensi perkhidmatan berhenti merokok. 

“Kementerian Kesihatan melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat sentiasa proaktif meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu kesihatan termasuk penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi. 

“Di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Fasa 1 (2020-2022), penyebaran literasi kesihatan dan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan terus dilaksanakan dari masa ke semasa,” katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Prof. Tan Sri Mohamed Haniffa Abdullah berhubung langkah diambil untuk meningkatkan kesedaran pemeriksaan kesihatan dan penyebaran literasi kesihatan. 

Ia memandangkan penyakit tidak berjangkit akibat budaya tidak sihat membawa kadar kematian sebanyak 73 peratus di negara ini.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, literasi kesihatan dan kesedaran juga dilaksanakan melalui Program Health Promotion in Learning Institutions (HePiLI). 

Menurut beliau, program itu membabitkan promosi dan pendidikan kesihatan kepada golongan sasar seawal peringkat prasekolah. 

“Kita juga mengadakan program Pemerkasaan Kesihatan dalam Komuniti melalui hab kesihatan dan Ejen Kesihatan Komuniti (MyChampion) yang terdiri daripada sukarelawan COMBI, KOSPEN, Ikon Gigi, Duta Kenali Ubat, Wakil Kesihatan Kampung dan ahli Panel Penasihat dan Program Temu Seru (Outreach) melalui Wellness on Wheel (WOW) yang meliputi 623 lokaliti komuniti di seluruh negara,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN