Dasar Padang Ke Timur termasuk China

Dasar Padang Ke Timur termasuk China

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dasar Pandang ke Timur yang sebelum ini hanya menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh model pembangunan ekonomi, kini Malaysia turut berminat  belajar dari China.

Dalam temubual bersama akhbar Jepun, Asahi Shimbun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya perlu terbuka untuk menyemak semula sebarang dasar yang telah dilaksanakan selama 40 tahun.

“Saya tidak akan kata ‘Timur’ (dalam dasar itu) bermaksud Jepun dan Korea Selatan tanpa China. Sekarang, apabila kita menyebut ‘Pandang ke Timur’ ia adalah Timur (termasuk China),” katanya dalam wawancara bersama akhbar Jepun itu di Tokyo, kelmarin.

Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenal Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1982 bertujuan mempelajari strategi pemodenan ekonomi, terutama dari Jepun dan Korea Selatan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, ketika melawat Amerika Syarikat (AS) sewaktu Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 baru-baru ini, ditanya mengapa Malaysia terarah kepada China.

Beliau menjawab: “Kerana mereka melabur lebih banyak”.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri, Malaysia tetap tegas berunding dengan China berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan tidak membenarkan sebarang tindakan sepihak oleh Beijing.

Malaysia menyokong dasar luar yang teguh dan bebas dan beliau berkata, negara akan berurusan dengan China bergantung kepada kepentingan Malaysia.

Sementara itu, Anwar menyifatkan Jepun sebagai rakan strategik yang sangat penting dan menyatakan hubungan Malaysia dengan Jepun harus diperluas di bawah dasar Pandang Ke Timur seperti berkongsi etika dan teknologi Jepun.

Menurut Asahi Shimbun, Jepun pada 16 Disember lalu mengumumkan akan menyediakan peralatan untuk aktiviti amaran dan pengawasan bernilai 400 juta yen (AS$2.82 juta), termasuk bot penyelamat dan dron kepada tentera Malaysia di bawah program bantuan keselamatan rasmi.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, peralatan pertahanan itu untuk membantu Malaysia melindungi perairan wilayahnya dan ia tidak termasuk mana-mana kapal selam atau pesawat besar dan bantuan berkenaan adalah untuk keperluan keselamatan.

“(Bantuan itu) bertujuan untuk soal keperluan keselamatan, bukan untuk tujuan menyerang atau agresif,” katanya.

Perdana Menteri kini selesai mengadakan lawatan kerja ke Jepun pada 16 hingga 18 Disember untuk menyertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun.

Dalam lawatan itu, Anwar telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau dari Jepun, Fumio Kishida. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN