'Cukup-cukuplah komponen BN serang-menyerang sesama sendiri'

‘Cukup-cukuplah komponen BN serang-menyerang sesama sendiri’

NEOW CHOO SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pemimpin MCA menggesa supaya menghentikan perbalahan dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN), sebaliknya memberi fokus untuk mengembalikan zaman kegemilangan gabungan politik itu.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, sudah tiba masanya untuk parti komponen BN berhenti menyerang antara satu sama lain kerana tindakan itu tidak akan memberi manfaat kepada BN. 

“Cukup-cukuplah kita dalam komponen BN serang-menyerang sesama sendiri. Tiada gunanya kita saling menyalahkan sesama kita kerana ia langsung tidak membawa manfaat kepada BN.

“Marilah kita bermaaf-maafan sesama kita, buang yang keruh dan ambil yang jernih. Tidak perlu cari siapa mula dan siapa yang balas. Apa yang sudah berlaku, biarkan berlalu menjadi sejarah dan menjadi pengajaran.

“Segala kekurangan dan kelemahan kita perbaiki bersama. Dalam politik yang serba mencabar ini memerlukan kita semua bersikap profesional serta bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Choo Seong berkata, BN perlu fokus terhadap usaha mengembalikan keyakinan pengundi untuk memilih gabungan itu pada pilihan raya akan datang. 

“MCA dan UMNO melalui perjalanan yang cukup panjang. Waktu suka dan duka kita harungi secara bersama-sama. Bukan untuk tempoh sehari dua, tetapi sejak berdekad lamanya.

“Daripada UMNO-MCA, MIC kemudian bersama kita pada tahun 1954 dalam gabungan yang dinamakan Parti Perikatan. Memetik laman web Arkib Negara, ‘Parti Perikatan Simbol Pakatan Antara Kaum’, menjadi asas pentingnya gabungan politik kita yang kini dinamakan Barisan Nasional.

“Tidak kira apa situasi politik atau sekencang mana gelora melanda, kapal kita yang mengibarkan panji BN perlu kita kemudi dengan baik secara bersama-sama. Tugas menjaga kapal BN sepanjang pelayaran ini memerlukan tanggungjawab dan peranan semua komponen BN,” katanya. 

Dalam pada itu, katanya, semua pihak perlu kembali merapatkan saf kerana sukar untuk rakyat yakin dan kembali kepada BN jika pemimpin berpecah-belah dan bertikam lidah secara terbuka. 

“Sifat kasih dan sayang yang amat tinggi kepada rakyat serta negara sebagaimana ditunjukkan oleh pemimpin kita pada ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu kita contohi,” katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng menggesa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya menerima hakikat bahawa sokongan orang Melayu terhadap gabungan itu terus merosot. 

Ini selepas Ahmad Zahid mendakwa BN mencatatkan prestasi buruk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman baru-baru ini kerana ‘pengundi putih’ dari parti itu tidak keluar mengundi. 

Pada 6 Disember lalu, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh memberi amaran kepada Teik Cheng parti itu perlu menerima hakikat mengenai kemerosotan sokongan kaum Cina.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Akmal hari ini turut memberi amaran kepada bekas Naib Presiden MCA merangkap Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Ti Lian Ker supaya tidak sekali-kali bermain isu perkauman berhubung penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan diadakan pada Januari tahun depan. 

Pada minggu lalu, Lian Ker dalam mesyuarat Dewan Negara berhujah, sudah tiba masanya kongres bumiputera tidak lagi ditunggang bagi meraih keuntungan politik atau dijadikan sebagai platform kesempatan oleh sesetengah pihak yang oportunis.

Katanya, beliau bukan menidakkan hak orang Melayu atau mempersoal pelaksanaan kongres bumiputera, namun, setelah lebih 50 tahun, negara masih lagi mengadakan majlis kongres ekonomi bumiputera bersiri-siri, tetapi, gagal mencapai matlamatnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya