CAP bimbang alat permainan kanak-kanak mengandungi bahan beracun  - Utusan Malaysia

CAP bimbang alat permainan kanak-kanak mengandungi bahan beracun 

MOHIDEEN Abdul Kader dalam sidang akhbar di Pejabat CAP, George Town, Pulau Pinang hari ini mengenai alat permainan plastik yang disyaki mengandungi bahan kimia beracun iaitu parafin berklorin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa ibu bapa mengelak daripada membeli alat permainan plastik untuk anak-anak mereka kerana disyaki mengandungi bahan kimia beracun, parafin berklorin.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, parafin berklorin merupakan bahan kimia yang sangat toksik dan digunakan dalam pelbagai jenis plastik termasuk dalam alat permainan plastik kanak-kanak.

Jelas beliau, bukti menunjukkan parafin berklorin boleh menyebabkan kerosakan pada hati dan buah pinggang, mengganggu sistem endokrin, menyebabkan kanser, merosakkan otak yang sedang berkembang dan menimbulkan ancaman kepada kesihatan reproduktif.

”Bukti juga menunjukkan parafin berklorin dibebaskan daripada plastik melalui kitaran hayatnya.

ANTARA alat permainan kanak-kanak yang disyaki mengandungi bahan kimia beracun, parafin berklorin.

“Kanak-kanak boleh terdedah kepada bahan kimia dalam alat permainan melalui penyedutan habuk toksik, sentuhan kulit dan melalui pendedahan di mulut dengan mengunyah,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohideen, dalam kajian yang dijalankan oleh International Pollutants Elimination Network (IPEN) ke atas 31 sampel alat permainan plastik yang dikumpulkan dari 10 negara termasuk Malaysia, didapati kedua-dua parafin berklorin rantai pendek (SCCP) dan parafin berklorin rantai sederhana (MCCP) ditemui dalam semua alat mainan yang diuji.

“Antara alat permainan yang diuji ialah kuda tiup, ayam dan itik getah, anak patung serta beruang plastik dan sampel ini dianalisis di makmal di Prague.

“Beberapa alat permainan yang diuji mengandungi paras SCCP yang tinggi dan sangat toksik sehingga boleh diklasifikasikan sebagai sisa berbahaya,” katanya.

Tambahnya, kajian IPEN turut mendapati kepekatan parafin berklorin yang sangat tinggi dalam alat permainan kanak-kanak amat membimbangkan.

”Hasil uji kaji ini yang diterbitkan oleh IPEN pada Oktober lalu menyerlahkan terdapatnya keperluan untuk mengawal selia bahan kimia ini secara global,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, SCCP turut disenaraikan bagi dihapuskan di bawah Konvensyen Stockholm pada 2017, namun Malaysia masih belum meratifikasi konvensyen itu.

Oleh itu, katanya, CAP menggesa Kerajaan Pusat meratifikasi Konvensyen Stockholm tersebut segera untuk kebaikan semua pihak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya