ALOR SETAR: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Peribahasa itu paling tepat bagi menggambarkan usaha gigih N. Rajaram yang lebih 30 tahun lalu hanya seorang pemuda yang bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah hotel di Singapura.
Kini pada usia 52 tahun, anak kelahiran Sungai Petani yang merantau ke Kota Singa dengan hanya membawa dua pasang pakaian sudah bergelar pengurus besar di salah sebuah hotel terkemuka di Kedah iaitu Hotel Grand Alora.
Berkongsi pengalaman hidupnya, Rajaram berkata, dia pernah berkhidmat sebagai salah seorang pengurusan tertinggi dalam bidang perhotelan di beberapa negara antaranya Myanmar, Bangladesh, India selain Singapura.
“Ketika saya mula berhijrah ke Singapura selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya tidak dapat bekerja sebagai pelayan di restoran seperti rakan-rakan lain kerana tidak fasih berbahasa Inggeris.
“Maka saya ditugaskan mencuci pinggan kerana bahagian itu tidak memerlukan berkomunikasi dengan tetamu hotel. Tetapi saya tidak pernah putus asa dan selepas dua tahun berada di Singapura, saya memohon kepada pihak pengurusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang pengurusan hotel sambil bekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Rajaram, dalam usahanya mendapatkan sijil profesional tersebut, pengurus hotel tempat dia bekerja bermurah hati membenarkannya bekerja pada syif malam.
“Saya tak mahu bercuti untuk ke kelas kerana tindakan sedemikian mengurangkan pendapatan. Apatah lagi, ketika itu saya baru membeli rumah untuk keluarga di kampung bagi memberi lebih keselesaan kepada mereka.
“Maka saya mengorbankan waktu rehat dan tidur demi ilmu. Setiap hari saya ke kelas dari pukul 8.40 pagi hingga 5.30 petang dan melapor diri untuk bekerja dari 6.30 petang hingga 3 pagi manakala cuti pula cuma sehari seminggu,” katanya.
Bermula daripada situ katanya, dia sentiasa berusaha memperbaiki diri termasuk dalam aspek komunikasi sehingga menyambung pula pelajaran di peringkat diploma.
“Lama-kelamaan, saya mula diberi kepercayaan berdepan tetamu hotel. Dari situ, kerjaya saya meningkat setangga demi setangga kepada seorang pelayan, ‘kapten’ restoran, pengurus khidmat makanan dan minuman (F&B) hinggalah diberi kepercayaan menyertai bahagian pengurusan tertinggi hotel-hotel terkemuka di beberapa negara,” katanya.
Menurutnya, setakat ini beliau telah berkhidmat di 16 buah hotel di Singapura, Myanmar, Bangladesh, India, China sebelum kembali menabur bakti di beberapa hotel terkemuka tanah air.
“Daripada seorang pencuci pinggan, saya pernah diberi kepercayaan mengetuai projek khas di luar negara. Bagi saya, semua orang mampu melakukannya dan apa yang penting adalah kesanggupan untuk berkorban dan berusaha,” katanya. – UTUSAN










