Berkhemah lima hari depan kedutaan AS demi Palestin

Berkhemah lima hari depan kedutaan AS demi Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekretariat Solidariti Palestin dengan sokongan 63 organisasi termasuk parti politik kerajaan dan pembangkang menganjurkan Kepung Demi Palestin di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS) bermula malam ini sehingga Ahad ini bagi menuntut gencatan senjata dalam konflik di Gaza.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakil Sekretariat Solidariti Palestin, Amir Abd. Hadi berkata, pihaknya akan membina khemah di depan kedutaan AS sebagai simbolik terhadap kepungan yang dilakukan sekutu AS iaitu Israel terhadap Gaza yang kini sudah masuk hari ke-80.

“Kita akan pacakkan khemah di depan kedutaan AS dan tidur di situ siang dan malam sehinggalah 31 Disember ini bagi menuntut gencatan senjata serta merta demi rakyat Palestin.

“Kuasa gencatan senjata ada di tangan AS kerana mereka boleh menghentikan sokongan kepada Israel dengan tidak mengendahkan permintaan rejim tersebut untuk bantuan persenjataan. Kita juga tidak bersetuju apabila AS menggunakan kuasa vetonya untuk membatalkan resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Amir yang juga Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata, piket tersebut kini disokong 63 organisasi badan bukan kerajaan(NGO) dan hampir semua politik membabitkan kerajaan dan pembangkang.

Katanya, pihaknya sudah pun merangka beberapa aktiviti pada setiap hari sepanjang lima hari solidariti dilancarkan termasuklah ceramah, persembahan seni dan sebagainya.

“Surat pemberitahuan sudah pun dihantar melalui emel kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju termasuklah Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Sabtu lalu.

“Kami memberi jaminan piket ini akan berlangsung secara aman tanpa sebarang rusuhan, kekerasan mahu pun vandalisme. Kami akan pastikan ia berjalan lancar selaras dengan undang-undang negara,” katanya.

Antara NGO yang menyokong solidariti ini adalah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Yayasan Al-Quds, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH Youth) dan Gerakan Belia Sepunjabi Malaysia (GBSM).

Selain itu, piket turut disokong oleh organisasi politik seperti Muda, Pemuda Pas, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Angkatan Muda Keadilah (AMK), Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu), Wanita Keadilan, Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) dan banyak lagi. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN