Setiap kali hendak bercuti, kepala pun mula pening memikirkan pakaian dan barang keperluan lain yang akan dibawa.
Kalau boleh semua baju yang ada dalam almari hendak dibawa. Risau kalau tidak cukup baju nanti atau baju yang dipakai tidak sesuai.
Tapi harus diingat, sebelum mengemas beg anda dan membawa barangan yang diinginkan, kebiasaannya ada had berat bagasi yang dibenarkan terutama oleh pengendali kapal penerbangan.
Malah kini, pengangkutan darat seperti bas pun turut menetapkan had berat bagasi yang dibenarkan. Sesetengahnya hanya membenarkan berat bagasi tidak lebih 20 kilogram (kg)!
Apabila bermusafir, sebaiknya anda perlu bijak memilih pakaian atau barang yang penting saja untuk dibawa. Bagaimanapun ini bergantung kepada jenis percutian anda, sama ada merancang untuk bersantai, ke luar negara atau dalam negara saja.

Teliti program percutian
Apabila mengemas pakaian yang ingin dibawa, pastikan anda mempunyai perincian program sepanjang percutian seperti destinasi yang akan dikunjungi dan jangan lupa memastikan suhu kawasan percutian.
Pilih baju yang sesuai dengan aktiviti yang bakal dilakukan di sana. Sebagai contoh, anda akan melakukan aktiviti pendakian atau aktiviti merentas hutan diikuti snorkeling, pilih satu pakaian sesuai untuk kedua-dua aktiviti ini.
Sudah tentu anda tidak mahu tergesa-gesa menukar pakaian di antara dua aktiviti ini kerana ia membuang masa selain terpaksa membawa banyak pakaian yang hanya memberatkan bagasi yang dibawa.
Pilih pakaian yang ringan
Tips terbaik untuk memastikan berat bagasi tidak melebihi had, sebaiknya bawa baju, seluar atau tudung yang diperbuat daripada fabrik ringan.
Ini membolehkan lebih banyak ruang bagasi dapat dijimatkan dan membolehkan anda meletakkan barang keperluan lain di dalam beg.
Fabrik seperti polister dan kapas ringan menjadikan bagasi lebih ringan apabila ditimbang atau dibawa. Lebih penting, ia tidak mudah berkedut dan boleh digayakan terus.
Fabrik cepat kering
Fabrik seperti nilon dan mikrofiber lebih cepat kering. Jadi, anda boleh basuh selepas dipakai dan disidai di ampaian dalam bilik mandi atau ampaian di luar jika disediakan untuk tujuan berkenaan.
Ini membolehkan anda memakainya untuk aktiviti pada hari-hari berikutnya. Jadi, anda tidak perlu membawa banyak pakaian terutama jika bercuti untuk tempoh pendek.
Jika bercuti dalam tempoh panjang, jangan lupa kini terdapat banyak kedai cucian kering layan diri di mana saja.

Memilih satu tona warna
Memilih pakaian dengan satu tona warna akan memudahkan anda memadankan pakaian yang dibawa.
Contohnya membawa tudung dengan tona yang mudah dipadankan dengan pakaian yang dibawa. Tudung dipakai di siang hari boleh digayakan di sebelah malam juga. Pakaian berwarna gelap juga tidak mudah nampak kotor dan boleh digayakan sepanjang hari.
Bercuti ke negara sejuk
Bawa baju panas hitam atau putih supaya mudah disuai padan dengan pakaian lain. Ke negara bercuaca dingin sebenarnya lebih menjimatkan kerana anda tidak perlu bawa banyak baju.
Kebanyakan masa anda akan memakai jaket atau pakaian panas apabila berada di luar. Jadi, kalau pakai baju yang sama tiada masalah sebab ditutupi dengan jaket.
Baju tidak akan mudah berbau bila suhu sejuk kecuali anda memang jenis kuat berpeluh. Bawa satu jaket musim sejuk dan satu set pakaian hangat (termal).
Sebaiknya pakai seluar jeans dan bawa satu lagi di dalam bagasi jika bercuti lebih seminggu. Kebanyakan masa anda akan berada di luar. Seluar denim atau jeans mudah disuai padan dengan mana-mana baju dan aktiviti.










