JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Projek Nanas Johor (JPP) dengan peruntukan RM1 juta menerusi Belanjawan Johor 2024 bakal memperkukuh industri nanas di negeri ini sekali gus meningkatkan produktiviti pengeluaran buah-buahan negara.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, pembangunan projek tersebut yang menerapkan konsep agroteknologi mampu meningkatkan produktiviti pengeluaran nanas sehingga 334,000 metrik tan.
“Belanjawan Johor 2024 mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui LPNM untuk memperhebatkan industri nanas negara.
“Pada tahun 2024, LPNM memperuntukkan sebanyak RM3 juta kepada negeri ini bagi memperkasa lagi industri tanaman tersebut. Sehubungan itu, peruntukan keseluruhan bagi negeri ini adalah sebanyak RM4 juta,” katanya.
Tambahnya, jumlah itu akan digunakan bagi pelaksanaan enam program pembangunan sedia ada dan tambahan khas projek JPP yang baharu diumumkan.
“Projek tersebut adalah Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi; Program Penerokaan Akses Pasaran Industri Nanas Global; Pengeluaran Benih Nanas; Program Pembangunan Industri Produk Nanas Berinovasi; Transformasi Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas; Program Pemerkasaan Fasiliti IAT Nanas (FIN) dan JPP.
“LPNM percaya belanjawan ini bertanggungjawab, responsif dan signifikan kepada bukan sahaja pemegang taruh industri nanas malah kepada rakyat Johor.
“Kesungguhan kerajaan negeri dalam menggariskan dasar dan polisi yang mesra kepada industri nanas amat dihargai dan LPNM mengucapkan penghargaan serta jutaan terima kasih,” katanya lanjut.
Tambah Sheikh Umar, tahun lalu Johor merekodkan seramai 2,000 usahawan nanas dengan keluasan tanaman 11,399 hektar.
“Jumlah itu merupakan 64 peratus daripada keluasan tanaman nanas negara sekali gus meletakkan negeri ini sebagai pengeluar utama nanas di Malaysia sehingga kini,” ujarnya.
23 November lalu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024 mengumumkan peruntukan pembangunan sebanyak RM1 juta bagi pelaksanaan JPP untuk meningkatkan produktiviti industri agromakanan dan merancakkan aktiviti eksport buah-buahan berpotensi.-UTUSAN