PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir terus mencatatkan peningkatan apabila seramai 28,533 mangsa dipindahkan setakat pagi ini, dengan dua lagi negeri iaitu Johor dan Sabah turut dilanda bencana tersebut.
Berdasarkan kemaskini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui portal info bencana JKM, sebanyak 214 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di enam negeri yang terjejas bagi menempatkan 8,713 keluarga.
Negeri yang mencatatkan pemindahan mangsa paling tinggi setakat ini adalah Kelantan dengan 17,733 orang dipindahkan ke 86 PPS membabitkan 5,674 keluarga.
Menurut kemas kini tersebut, daerah Pasir Mas adalah kawasan paling teruk terjejas apabila mencatatkan 12,393 mangsa dipindahkan ke 35 PPS yang diaktifkan.
Di Terengganu pula, seramai 10,419 mangsa yang terdiri daripada 2,933 keluarga dipindahkan ke 119 PPS di tujuh daerah seluruh negeri.
Setakat ni, daerah paling teruk terjejas adalah di Hulu Terengganu apabila mencatatkan pemindahan 3,206 mangsa namun angka tersebut dilaporkan tidak berubah berbanding semalam.
Empat lagi negeri yang terjejas adalah Sabah dengan 169 mangsa, Pahang (125), Johor (83) dan Selangor (4).
Terdapat sembilan PPS diaktifkan untuk menempatkan mangsa banjir di keempat-empat negeri tersebut dengan Pahang mencatatkan empat pusat, Sabah (3), Selangor (1), Johor (1).
Sementara itu, berdasarkan laporan terkini kejadian bencana yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terdapat satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Cameron Higlands disebabkan hujan lebat yang melanda kawasan tersebut.
Keadaan tersebut memaksa 87 mangsa dipindahkan ke satu PPS yang diaktifkan semalam. – UTUSAN