AS seolah-olah halalkan kekejaman terhadap Palestin -Agong

AS seolah-olah halalkan kekejaman terhadap Palestin -Agong

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya menolak Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk gencatan senjata seolah-olah menghalalkan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Baginda menzahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap tindakan tersebut bertitah, ia sekali gus menggagalkan usaha UNSC untuk mencari jalan penyelesaian dalam konflik rejim Zionis Israel – Palestin yang sehingga kini mengorbankan lebih 17,000 orang awam dengan 70 peratus daripadanya adalah kanak-kanak dan wanita.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd. Ariffin berkata, tindakan itu juga seolah-olah menghalalkan kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dengan pembunuhan lebih ramai orang awam dan kemusnahan harta benda, fasiliti serta kemudahan perubatan di Gaza.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan kepada pendirian kerajaan Malaysia, menerusi kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri yang membantah dan mengecam tindakan veto AS terhadap resolusi yang dikemukakan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan disokong 102 negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat supaya terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menghulurkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban dan penderitaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahari berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar konflik rejim Zionis Israel-Palestin itu dapat dihentikan dengan segera.

Katanya, pada masa sama, rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Zionis Israel.

“Seri Paduka Baginda juga turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri untuk terus mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya dalam menolak resolusi untuk gencatan senjata di Semenanjung Gaza ketika angka korban rakyat Palestin menjangkau lebih 17,000 orang. 

Resolusi yang disokong oleh hampir 102 negara anggota Majlis Keselamatan PBB itu ditolak bulat-bulat oleh AS dengan sokongan 13 negara lain manakala sekutu rapatnya United Kingdom (UK) memilih untuk berkecuali.--UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN