PUTRAJAYA: Seorang bekas pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 12 sebatan selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman mati terhadapnya atas kesalahan membunuh rakan sekampung dengan melanggar dan menggilis mangsa dengan sebuah kereta, sembilan tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu selepas menggunakan kuasa budi bicara bagi menggantikan hukuman mati terhadap Azami Mohamed, 49, dengan hukuman penjara.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal memerintahkan bapa dua anak itu menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap pada 2 Oktober 2014.
Panel itu memutuskan demikian susulan pemansuhan hukuman mati mandatori yang berkuat kuasa 4 Julai lalu yang membenarkan mereka memilih menjatuhkan hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun untuk menggantikan hukuman mati mandatori.
Ketika membacakan keputusan sebulat suara itu, Hakim Mohamad Zabidin berkata tiada kesilapan dibuat oleh Mahkamah Tinggi yang mendapati perayu (Azami) bersalah atas tuduhan membunuh.
“Namun, mahkamah mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 33 tahun dan 12 sebatan,” kata hakim itu.
Pada 23 November 2022, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati selepas menolak rayuan Azami terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 14 Julai 2019.
Azami didapati bersalah membunuh Rohadi Yaakob, 49, di jalan raya Kampung Jelapang, Sungai Tong, Setiu, pada pukul 6 petang, 2 Oktober 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berhujah bahawa mahkamah perlu mengambil kira 35 kecederaan dialami mangsa di bahagian kepala dan badan yang menunjukkan perayu mempunyai niat membunuh.
“Semasa kejadian, berlaku pertengkaran mulut antara perayu (Azami) dan si mati yang mana perayu berkata `aku akan tepuh mu (langgar mu) sampai mapuh (mampus/mati)’.
“Perayu juga telah melanggar si mati yang ketika itu menunggang motosikal menyebabkan mangsa melambung sehingga enam hingga tujuh kaki dan jatuh ke atas jalan raya.
“Perayu tidak berhenti sebaliknya membuat `pusingan U’ dan bertindak melanggar mangsa dan seorang lagi yang ketika itu bermotosikal,” katanya.
Hujah pendakwa raya, laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mengalamai kecederaan fatal dan membuktikan perayu berniat membunuh lelaki itu.
Peguam Mohd. Kamaruzaman A. Wahab, mewakili perayu memohon mahkamah memberikan peluang kedua kepada anak guamnya dengan menggantikan hukuman mati dengan hukuman pemenjaraan antara 30 hingga 40 tahun.
“Anak guam saya telah berpisah dengan isteri dan mempunyai tiga anak. Sebelum ini dia bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,000 sebulan. Dia juga tidak mempunyai rekod lampau,” kata peguam itu. –UTUSAN