SEJAK Ahad lalu, belum cukup surut kontroversi membabitkan satu adegan cium berlapik antara pelakon Hun Haqeem dan Daiyan Trisha menerusi drama bersiri W:Two World yang diadaptasi dari sebuah naskhah meletup, mempunyai rating tinggi dan diingati di Korea Selatan walaupun ditayangkan tujuh tahun lalu.
Hun dan Daiyan mungkin sekadar melunaskan tugas sahaja, bersikap profesional dan patuh kepada tuntutan naskhah.
Namun, adegan tersebut mengejutkan ramai pihak sehingga memicu makian dan cakap-cakap orang di media sosial. Justeru penulis melihat keperluan untuk meneliti, membahas dan memahami senario ini dari aspek yang lebih besar.
Sebagai sebuah naskhah adaptasi, mengapa agaknya adegan yang dianggap sensitif sebegini dikekalkan dalam drama tersebut?
Adakah olahan kreativiti seperti bercium menggunakan kain adalah keputusan wajar dan bijak? Berapa peratus naskah asal perlu dikekalkan dalam sebuah karya adaptasi? Adakah memangkas babak romantis ciuman dalam siri drama dianggap satu ‘dosa’ bagi pengkarya atau apakah adegan ciuman perlu ada untuk menjadikan naskhah itu lebih ‘antarabangsa’?
Datuk Yusry Abdul Halim mungkin adalah orang yang tepat untuk memberi pandangan kerana dia bertanggungjawab menghasilkan siri adaptasi W :Two World ini. Namun sayangnya, dia juga kekal mengunci mulut.
Maka, kami tampilkan buah fikir daripada pembikin naskhah tempatan yang juga mempunyai pengalaman menghasilkan naskhah adaptasi sebelum ini.
Karya adaptasi tidak mudah, perlu kreativiti pengarah
Bahaya dan juga istimewanya tentang karya adaptasi, ia bergantung sepenuhnya kepada daya kreativiti dan idea pengarah mengolah sesebuah naskhah. Apalagi adaptasi selalunya berlaku untuk naskhah yang memang sudah terkenal dan ditonton banyak orang.
Jika olahannya tidak berjaya, hasilnya akan dirasakan seperti ‘mengejek’ naskhah asal sehingga dianggap cringe dan tidak menghormati pembikin asal.
Menurut penerbit dan pengarah Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, pengarah perlu mengekalkan 50 peratus asas cerita, sementara 50 peratus yang lain memerlukan daya fikir pengarah dan pasukannya untuk menampilkan pembaharuan.
“Saya pernah menerbitkan beberapa naskhah adaptasi dari novel dan filem seperti filem Janji Diana.
“Adaptasi memerlukan pengarah mengambil asas cerita. Sementara selebihnya, perlu ada tokok tambah yang relevan dan pengolahan plot serta latar.
“Jika naskhah itu diadaptasi dari karya luar negara, pengarah perlu fikirkan cara untuk memastikan ia bersesuaian dengan budaya serta tidak menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Yusof bagaimanapun faham sekiranya pengarah harus akur jika itu menjadi syarat yang ditetapkan pihak penstriman.
“Pendapat saya, tidak perlu kita ikut bulat-bulat apa yang ada dalam naskhah asal. Adegan bercium tidak perlu ada walaupun ia berlapik. Ia tidak manis. Saya pernah buat babak berpeluk semasa cerita Sembilu Kasih, tapi itu 30 tahun dulu, perempuan bertudung tak ramai. Namun di zaman ini, saya tidak rasa babak itu perlu ada kerana dunia sudah berubah.
“Namun, dalam hal ini saya tidak sepenuhnya menyalahkan produksi. Mungkin kerana ia disiarkan menerusi platform over-the-top (OTT) maka mereka ada standard tertentu yang perlu dipatuhi untuk tayangan antarabangsa.
“Kami juga pernah menghasilkan karya di platform OTT untuk cerita trailer, mereka memang minta agar tidak dipotong bahagian pembunuhan sehingga darah menyembur keluar. Cuma kalau babak adegan romantis bercium, sebolehnya kita elakkan. Cuma saya faham sekiranya pihak OTT mempunyai syarat tertentu untuk pembikin filem. Itulah dilema yang perlu dihadapi,” tambahnya.
Pengarah, Ghaz Abu Bakar, yang pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik Fiksyen di Asian Academy Creative Awards 2021, pula menekankan bagaimana seorang pembikin filem perlu melalui proses menulis dari awal, babak ke babak walaupun karya yang dihasilkan itu diambil dari sebuah naskhah adaptasi.
“Pengarah kena buat homework dan faham apa yang dimaksudkan dengan karya adaptasi. Ia termasuklah dari aspek genre cerita, adakah ia boleh untuk diadaptasi dan disesuaikan dengan budaya kita?
“Semasa saya membuat adaptasi siri Korea Selatan bertajuk Black, saya dan pasukan tulis balik dari peringkat awal pengolahan cerita itu. Monitor semula perjalanan naskhah agar ia tidak dianggap cringe. Sebab itu penting untuk pengarah tonton semua episod agar dia tahu semua watak dalam drama tersebut.
“Pengolahan bergantung kepada bajet dan sensitiviti kita. Nashkah asli drama Black asalnya ada menampilkan watak malaikat maut, tetapi dalam konteks di Malaysia, kita tidak boleh tampilkan sebagai malaikat, jadi kita ubah, karakter utama kononnya dia dari alam lain seperti bunian.
“Selain itu kita juga jaga dari aspek tatasusila antara pelakon utama ketika itu iaitu Siti Saleha dan Kamal Adli. Tidak perlu ikut naskhah Korea seratus peratus terutama bab percintaan,” tambahnya.
Adakah aksi ciuman menjadikan kita lebih antarabangsa?
Menurut Ghaz lagi, adegan cium, walaupun berlapik masih dianggap tidak sesuai untuk tontonan umum di Malaysia. Justeru ia boleh diolah secara kreatif oleh pengarah.
“Dalam Black, paling ekstrim saya buat ialah babak Kamal Adli cium dahi Siti Saleha kerana ia adalah babak perpisahan dan ada keperluan. Hanya satu babak itu sahaja. Itupun Kamal, Sally dan saya sendiri tidak selesa.
“Pembikin filem juga adalah penonton. Pada saya adegan bercium walau ia berlapik tetap tidak sesuai. Itu bukan kayu pengukur untuk menjadikannya sebuah karya hebat atau antarabangsa.
“Sebagai beragama Islam, saya tak buat scene begitu. Jika ditakdirkan suatu hari saya mengarah filem Hollywood sekalipun, saya minta dijauhkan daripada buat babak sebegitu dan ingat niat setiap kali kita berkarya,” katanya.