82,680 pengembara keluar masuk ke Thailand

82,680 pengembara keluar masuk ke Thailand

PENGEMBARA beratur panjang untuk menyelesaikan urusan dokumentasi di kaunter Imigresen Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam sebelum berkunjung ke Thailand di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pintu sempadan antarabangsa di negeri ini terus menjadi tumpuan pelancong khususnya rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke negara jiran terutamanya di Hatyai.

Tinjauan mendapati, jalan raya berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam turut sesak sejauh beberapa kilometer pada sebelah pagi.

Menerusi data yang diberikan Imigresen negeri setakat semalam, seramai 78,301 pengembara menggunakan laluan ICQS Bukit Kayu Hitam di sini, sementara 4,379 lagi melalui ICQS Kota Putra, Durian Burung di Padang Terap untuk keluar masuk ke negara itu sejak Jumaat lalu.

Dijangkakan angka berkenaan akan semakin bertambah menjelang hujung minggu ini sempena cuti umum Hari Krismas serta sambutan tahun baharu 2024 tidak lama lagi.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain, kesesakan di ICQS berlaku disebabkan orang ramai ingin menghabiskan masa bercuti bersama keluarga.

“Destinasti pilihan pengembara ini adalah Hatyai yang menjadi syurga makanan untuk pelancong-pelancong dari Malaysia kerana dikatakan lebih murah dan sedap.

“Maka Jabatan Imigresen sentiasa bersedia menerima kedatangan pelancong dengan membuka empat hingga enam kaunter kenderaan bergantung kepada kesesakan semasa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd. Ridzzuan turut memaklumkan, jumlah pengembara yang keluar dan masuk ke negara ini di Kompleks ICQS Kota Putra turut meningkat sepanjang cuti sekolah ini.

“Biasanya tidak ramai yang melalui ICQS Kota Putra tetapi sejak bermulanya cuti sekolah, jumlahnya meningkat.

“Mungkin ada dalam kalangan rakyat negara ini sanggup melalui jalan yang sedikit jauh untuk ke Hatyai semata-mata bagi mengelak kesesakan di Bukit Kayu Hitam.

“Selain itu, ada juga rakyat kita yang tinggal di utara tanah air menggunakan laluan ini sebagai jalan pintas ke Kelantan. Mereka akan masuk semula ke Malaysia menerusi ICQS Rantau Panjang di Kelantan,” katanya.

Justeru, Mohd. Ridzzuan menasihatkan pengembara untuk merancang waktu perjalanan masing-masing dan menyemak dokumen perjalanan terlebih dahulu untuk mengelak sebarang kesulitan.

Dalam pada itu, tinjauan di kawasan sekitar Changlun, di sini turut meriah apabila orang ramai membanjiri premis menjual insurans ke Thailand untuk menyelesaikan urusan dokumentasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN