{5 Soalan} Pas tidak terdesak jadi kerajaan

Pas tidak terdesak jadi kerajaan

Pas, UMNO pernah berkongsi pentas politik yang sama namun terhenti kerana perbezaan pandangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH: Walaupun ditolak, Pas tetap konsisten untuk bekerjasama semula dengan UMNO semata-mata demi penyatuan ummah. Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad mengakui kerjasama antara dua parti terbesar orang Melayu itu diperlukan selepas melihat perpecahan mereka yang ketara terutama selepas PRU-14. Kepada wartawan Utusan Malaysia, WAT KAMAL ABAS, beliau optimis kerjasama dengan UMNO itu bukan mustahil.

SST
IDRIS AHMAD

UTUSAN: Mengapa Pas mahu bekerjasama semula dengan UMNO?

IDRIS: kerjasama ini demi perpaduan ummah yang menyatukan parti-parti Melayu atas dasar kepentingan ummah. Pas konsisten dalam soal penyatuan ummah ini, penyatuan dalam kalangan Melayu. Kita bukan sahaja memikirkan kepentingan parti tetapi untuk ummah, lebih-lebih lagi sejak perpecahan Melayu selepas PRU-14.
Kalau kita mahu fikirkan dendam kesumat, pada PRU-14 UMNO sudah jatuh jadi pembangkang pada waktu itu. Tetapi kita hulurkan tali persahabatan sehinggakan kita sanggup kehilangan kawan dalam Pas dan mereka menubuhkan parti baharu iaitu Amanah kerana mereka tidak boleh terima UMNO tetapi kita tetap teruskan penyatuan ummah, ini lebih penting pada kita

UMNO kata Pas khianati mereka dan Pas juga pernah menggelarkan UMNO pelbagai gelaran, kenapa tiba-tiba mahu bersatu semula?

DALAM politik itu biasa. UMNO kata Pas, Pas pun kata UMNO. Kalau atas alasan itu, kita boleh sebutlah selepas PRU-14 kita tak bersatu. Kalau nak fikirkan macam-macam. Kalau nak fikirkan sejarah, UMNO buat pada kita tapi perkara yang berlaku itu kita tak pernah ungkit sebab kita nak berkawan, kalau kita ungkit perkara-perkara itu maka kita tak berkawanlah. Sebab itu kita mulakan buku baharu. Macam suami isterilah, bercerai, kalau fikirkan kisah lama, sampai bila pun tak akan rujuk. Tak timbul soal kata mengata, itu benda lumrah, biasalah dalam politik.

SEMASA dalam Muafakat Nasional, UMNO tidak tahu menahu Pas buat perjanjian dengan Bersatu sehingga membentuk Perikatan Nasional (PN) tetapi kini mahu bekerjasama semula?

DALAM MN jelas piagam kita, kita terbuka kerjasama kepada semua orang. Parti lain pun terbuka untuk semua orang, kita nak ada engagement kerana kita nak membesarkan pengaruh kita dan meramaikan sahabat. Maka sebab itu kita menerima Bersatu juga untuk kita berkawan supaya kita dapat satu pakatan atau payung yang besar. Ini yang kita nak buat, jadi tak timbullah soal kita khianat dan sebagainya. UMNO patut berterima kasih kepada Bersatu kerana Bersatulah yang menyekat mereka (Pakatan Harapan) daripada menjadi pembangkang selama 22 bulan. Kita panggil UMNO untuk duduk dalam Kabinet tapi mereka (UMNO) buat huru hara untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bagi jawatan itu (Perdana Menteri) kepada UMNO dan itu tidak menjadi sebarang masalah pada mereka. Rakyat menilai perkara itu. Sepatutnya UMNO berterima kasih kepada Bersatu kerana Bersatu ini kawan awak daripada parti awak sendiri. Kalau kami boleh terima Bersatu kenapa pula awak tak boleh terima?

KALAU mahu bersama UMNO, kenapa Pas tidak ikut syarat UMNO supaya Pas tinggalkan Bersatu?

UMNO sudah ada akar umbi, semangat dan sebagainya dan kita nak tengok pula semangat setia kawan UMNO. Sebelum PRU-15, kita ajak dan saya salah satu jawatankuasa perunding untuk runding pelbagai perkara khususnya mengenai pengagihan kerusi terutama kerusi yang kritikal tetapi mereka (UMNO) tidak setuju. Mereka yakin boleh menang 27 kerusi. Sampai ke peringkat begitu. Penyelesaian ialah post coalition lepas PRU-15. Tapi apa yang berlaku rupa-rupanya mereka sudah pun ada perjanjian sebelum ini. Tapi saya tak mahu kata, tak elok nanti.

ADAKAH Pas terdesak untuk jadi kerajaan semula?

KITA tak desak sesiapa, kita sudah jadi Pembangkang dan yang pentingnya ialah kepentingan ummah. Semua pemimpin yang ada ini sudah tua termasuk pimpinan dari Pas, Bersatu dan juga UMNO. Kesemua kepimpinan ini semuanya sudah tua, berumur 60 tahun ke atas, kita nak apa lagi? Saya pun sudah berumur 60 tahun dan kita mahu biarlah kita tinggalkan satu legasi yang baik dan apa yang kita perjuangkan, hanya ini yang kita nak. Pas tiada masalah sebab Pas sudah biasa jadi Pembangkang. Kita tidak rasa apa-apa, tetapi UMNO yang terasa selama 22 bulan sebab tak jadi kerajaan dan amat terasa ketika menjadi pembangkang. Kami sudah biasa jadi Pembangkang tapi kami letak kepentingan ummah, kepentingan Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN