BINTULU: Seramai 23 lelaki ditahan ketika melakukan kegiatan sabung ayam di sebuah kawasan ladang di Jalan Tatau-Selitut di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintenden (DSP) Jame Reis berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Tatau pergi ke tempat kejadian pada jam 3.50 petang dan mendapati kawasan lapang bertukar menjadi gelanggang sabung ayam.
“Pasukan polis melakukan pemantauan selama 20 minit sebelum menyerbu kegiatan kumpulan terbabit.
“Leka dan terkejut dengan kehadiran serbuan polis, kesemua suspek cuba melarikan diri ke dalam hutan, bagaimanapun gagal,” ujarnya.
Tambahnya, turut dirampas ialah sebanyak 11 ekor ayam sabung, dua taji ayam sabung, satu papan judi sabung ayam, dua unit kanvas, masing-masing satu pen marker hitam, penimbang, dan enam kerusi serta wang tunai berjumlah RM516.
“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 30 dan 72 tahun.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek turut mendapati kesemua mereka negatif dadah, dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” jelasnya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 73 (g) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Haiwan 1962.-UTUSAN