200 ekor ular ditangkap musim Monsun Timur Laut - Utusan Malaysia

200 ekor ular ditangkap musim Monsun Timur Laut

ANGGOTA APM Daerah Besut menunjukkan antara spesis ular tedung selar dan ular sawa tikus yang ditangkap di Besut, hari ini. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Sebanyak 200 ekor ular berjaya ditangkap oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Besut sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Besut, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata, jumlah tersebut melibatkan tangkapan reptilia itu sejak awal November sehingga kini.

“Bilangan ular yang ditangkap pada musim banjir boleh dikatakan meningkat berbanding kebiasaannya, kerana haiwan-haiwan ini akan mencari tempat untuk berlindung apabila habitatnya dipenuhi air.

“Disebabkan itu, banyak kes ular yang kita terima dan kita tangkap di sekitar atau di dalam rumah penduduk di sekitar daerah ini,” katanya ketika ditemui di pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Besut di sini, hari ini.

Menurut Ramlan, selain kediaman mereka juga menangkap ular seperti ular sawa di kandang ternakan penduduk berikutan haiwan berkenaan mencari makanan setelah kekurangan sumber makanan apabila habitat mereka dilimpahi air banjir.

Katanya, antara jenis ular yang telah ditangkap APM adalah ular tedung senduk sembur serta ular katan tebu, ganding wat, ular lidi, ular sawa tikus, ular sawa, dan ular tedung selar.

“Setelah ditangkap ular-ular ini akan di bawa ke pejabat APM dan diletakkan di dalam sarang khas dan ular berkenaan akan di simpan sementara waktu sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.

“Selalunya kita akan menempatkan ular-ular ini selama satu hingga dua minggu di dalam jagaan kita sebelum diserahkan, namun ia bergantung kepada kapasiti sangkar itu… sekiranya penuh kita akan segera menyerahkan reptilia tersebut kepada Perhilitan,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk segera memberi respon apabila menerima sebarang aduan daripada orang ramai sekiranya berlaku kes-kes berkaitan haiwan liar mahupun reptilia berbisa itu.

Dalam pada itu, Ramlan turut meminta orang awam agar sentiasa berwaspada dan memeriksa keadaan sekeliling kediaman mereka bagi memastikan tiada kehadiran haiwan berbisa itu yang dikhuatiri akan mengancam keselamatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya