KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat persiapan rapi sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang akan berlangsung di tempat letak kereta A dan B, Stadium Nasional Bukit Jalil bermula esok.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya telah mengaturkan penugasan kawalan keselamatan bagi memastikan kelancaran program.
Katanya, 200 anggota polis telah ditugaskan bagi mengawal lalu lintas dan memastikan tahap keselamatan pengunjung terjamin sepanjang tiga hari program itu berlangsung.
“Diharapkan orang ramai dapat mematuhi arahan pegawai dan anggota polis yang bertugas serta menjaga keselamatan diri juga barangan peribadi semasa berada di kawasan yang sesak,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini hari ini.
Perasmian penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Disember ini.
Dalam pada itu, Zam turut menyarankan orang ramai agar menggunakan pengangkutan awam untuk menghadiri program tersebut bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Tegasnya, orang ramai dinasihati untuk menjaga tatasusila, tidak melakukan provokasi dan tidak mencetuskan kekacauan sepanjang program tersebut dijalankan.
“Amalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak – ansur ketika sedang memandu kenderaan di sekitar stadium.
“Orang ramai tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan sertadi sekitar laluan masuk dan keluar stadium. Tindakan saman dan tunda akan diambil kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas,” tegasnya.
Dijangkakan lebih 100,000 pengunjung menghadiri program berkenaan. –UTUSAN