PETALING JAYA: Sebanyak 18 sungai di lima negeri mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya dengan sembilan daripadanya terletak di Pahang, pagi ini.
Selain itu, terdapat 19 lagi sungai di kelima-lima negeri tersebut turut mencatatkan bacaan melebihi paras amaran disebabkan hujan lebat yang melanda sejak beberapa hari lalu.
Berdasarkan laman sesawang rasmi public info banjir https://publicinfobanjir.water.gov.my, sembilan sungai di Pahang tersebut adalah Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Sungai Tembeling di Kampung Bantal Seberang, Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Sungai Tembeling di Kampung Merting, Sungai Luit di Kampung Subuh, Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Sungai Pahang di Paloh Inai, Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia dan Sungai Rompin di Jambatan Kuantan-Segamat.
Selain itu, terdapat 10 lagi sungai di negeri tersebut turut mencatatkan peningkatan paras air melebihi tahap amaran ia membabitkan Sungai Pahang di Sungai Yap, Sungai Pahang di Jerantut Feri, Sungai Pahang di Kuala Krau, Sungai Pahang di Waterfront, Sungai Jempol di Felda Jengka, Sungai Pahang di Lubok Paku, Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Sungai Kuantan di Pasir Kemudi dan Sungai Belat di Sri Damai.
Di Kelantan, empat sungai menunjukkan bacaan melebihi paras bahaya ia membabitkan Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kusial, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Kelantan di Kuala Besar.
Negeri tersebut kini mencatatkan mangsa pemindahan banjir tertinggi setakat ini iaitu seramai 17,733 orang dipindahkan ke 86 PPS membabitkan 5,674 keluarga.
Di Terengganu pula, tiga sungai mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu di Sungai Terengganu di Drawbridge, Sungai Dungun di Jambatan Jerangau dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman sementara tiga lagi iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap, Sungai Nerus di Kampung Bukit serta Sungai Tersat di Kampung Sekayu mencatatkan bacaan melebihi paras amaran.
Sementara itu, di Johor, Sungai Siam di Kampung Sungai Siam mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya manakala Sungai Lenik di Ladang Chaah pula menunjukkan bacaan melebihi paras amaran.
Terakhir di Sarawak, satu sungai di Batu Niah Bazaar mencatatkan peningkatan paras air melebihi tahap bahaya makanala dua lagi iaitu Sungai Tamin dan Sungai Serian menunjukkan bacaan melebihi tahap amaran. – UTUSAN