179 mangsa tipu umrah desak polis beri perkembangan siasatan

179 mangsa penipuan umrah desak polis beri perkembangan siasatan

HISHAMUDDIN Hashim bersama para mangsa kes penipuan pakej umrah di pekarangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 179 mangsa penipuan sebuah syarikat pengendali umrah mendesak polis memaklumkan perkembangan baharu siasatan dikaitkan dengan syarikat ternama yang didakwa memperdaya ratusan mangsa melalui pakej yang ditawarkan syarikat itu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kerugian yang dialami mangsa kini mencecah RM1.2 juta selain terdapat mangsa yang belum diterbangkan menunaikan umrah sejak 2019.

Katanya, walaupun ratusan laporan polis telah dibuat mangsa sejak Mac hingga Oktober tahun ini, namun mangsa mendakwa pihak polis klasifikasikan kes sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain atau ‘Refer to Other Agency’ (ROA) iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Selain itu, pelbagai janji termasuk cek dan jadual penerbangan semula dibatalkan beberapa kali syarikat itu.

“Jadi mengapa kes ini ROA sedangkan ini jelas satu jenayah apabila mangsa diperdaya dan ditabur pelbagai janji.

“Justeru, kita hadir hari ini bagi menyerahkan surat permohonan perkembangan semasa di bawah Seksyen 107 A di bawah Kanun Tatacara Jenayah selain menuntut pihak polis menjawab persoalan yang diajukan berkaitan kes pakej umrah yang telah memperdaya ribuan mangsa di luar sana,”katanya ketika sidang akhbar yang dihadiri 179 mangsa di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Susulan itu, Hishamuddin menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap syarikat tersebut di bawah Seksyen 415 dan 420 Kanun Keseksaan kerana ia jelas melakukan jenayah penipuan dan pecah amanah.

“Pengadu berhak memohon maklum balas 14 hari selapas daripada tarikh laporan dilakukan, adakah kes mereka masih ROA atau masih dalam siasatan. Kita minta jawapan kerana kita hanya mewakili mereka,” katanya.

Tambah Hishamuddin, pihaknya menolak tohmahan orang ramai yang mendakwa majoriti mangsa penipuan umrah mengambil pakej tambang murah.

Jelasnya, rata-rata mangsa yang terlibat mengambil pakej mengikut harga pasaran yang mana mencecah RM10,000 hingga RM20,000 setiap seorang.

“Ini bukan pakej murah, kalau ada tohmahan mangsa ambil pakej murah, mereka salah. Malah ada mangsa yang bayar lebih mahal daripada harga semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya