SHAH ALAM: Polis merekodkan keterangan 12 individu bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan berusia 19 tahun cedera disimbah asid di Denai Alam di sini, bulan lalu.
Kejadian pada 8 November lalu itu mengakibatkan mangsa dikenali sebagai Nadia Fasha Qistina Azman Shah, 19, cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes berkenaan.
Kata beliau, siasatan meliputi motif sebenar kejadian dan mengesan pelaku tersebut.
“Sehingga kini, seramai 12 individu sudah dirakamkan percakapan oleh polis. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kita masih mengesan suspek yang terlibat,” katanya hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan disimbah asid oleh seorang lelaki menyamar sebagai pekerja e-hailing yang kemudiannya melarikan diri.
Kejadian berlaku ketika mangsa pulang dari kerja dari sebuah klinik di Denai Alam.
Nadia Fasha kini hampir dua bulan menerima rawatan di hospital dan sudah menjalani lapan kali pembedahan bagi memulihkan tisu kulit serta menyelamat matanya.
Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk di muka, badan dan kakinya,. – UTUSAN