KOTA BHARU: Kewujudan industri kecil dan sederhana (IKS) berkait dengan produk getah serta semi-produk mampu ‘menyelamatkan’ industri itu pada masa hadapan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM) Kameruzaman Ab. Rahman berkata, usaha itu secara tidak langsung boleh mengembangkan semula tanaman tersebut dengan menjadikan ‘industri satu kampung satu produk getah’.
“Industri itu boleh dibangunkan di kawasan yang berdekatan dengan zon penghasilan getah. Sekiranya produk yang dihasilkan ini boleh memberi nilai tambah dan pendapatan yang lebih baik kepada pengusaha getah.
“PUGBM yakin inisiatif ini akan menjadi satu inovasi baru kepada industri getah negara,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kameruzaman memberitahu, penghasilan getah sekerap dan lateks kepada bentuk yang lain dilihat lebih terdedah kepada manipulasi dan spekulasi oleh peniaga dan broker getah.
Katanya, hal ini kerana kadar diskaun pembelian lateks oleh peniaga getah di lapangan adalah terlalu tinggi sekali gus menyekasikan insentif yang diberikan oleh kerajaan tidak sampai kepada pengusaha kebun.
Dalam perkembangan lain, Kameruzaman berkata, pendidikan secara berterusan berkait dengan getah perlu terus diberikan keutamaan oleh pihak kerajaan ke atas generasi baharu.
Katanya, langkah itu bagi melahirkan generasi baru pekebun getah yang lebih kompiten dan berdaya maju.
“Langkah ini sejajar dengan dasar kemodenan industri getah yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Masyarakat pekebun kecil merupakan aset penting kepada industri getah negara.
“Sektor pekebun kecil adalah penyumbang utama kepada pengeluaran getah negara. Bagi kesinambungan sebagai pengeluar utama getah negara, masyarakat pekebun kecil hendaklah bergerak secara bersama atau berkelompok,” ujarnya.-UTUSAN










