BAGAN DATUK: Seorang wanita di sini dan suaminya terpaksa memikul tanggungjawab menjaga empat beradik yang terbiar selepas ibu bapa kanak-kanak itu bercerai.
Suzilawati Samaon, 45, berkata, dia menjaga empat beradik itu iaitu dan Daneal Aqasha Azmi Abdullah,11, Danish Aliya, 8, Dira Shafwan Mubasyir Sharuh, 5, dan Dhafwatul Aisy Dayyan Sharuh Azmi berusia tiga tahun kerana simpati.
Katanya, dia dan suami bertindak sedemikian selepas melihat keempat-empat beradik berkenaan merayau tanpa arah tujuan di pekan Bagan Datuk.
Jelasnya, pada mulanya, dia melihat empat beradik itu merayau di sekitar Waterfront di sini dan tidur di kaki lima di Masjid Tuminah Hamidi sebulan lalu.
“Saya kasihan melihat keadaan mereka yang tiada arah tujuan dan merayau di pekan Bagan Datuk, makan tidur mereka tidak menentu.
“Saya difahamkan ibu mereka sudah bercerai, itu yang menyebabkan tiada siapa yang menjaga mereka. Kerana kasihan, saya mengambil mereka menumpang di rumah saya.
“Saya tidak sampai hati melihat mereka terbiar begitu apatah lagi mereka masih kecil. Hati kami begitu tersentuh apabila melihat yang kecil menangis, mungkin disebabkan lapar atau kesejukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, begitu pun dia tidak boleh terus menjaga kanak-kanak itu kerana tidak mampu dengan pendapatan menjual air di Water Front Bagan Datuk bersama suaminya.
Sehubungan itu, dia meminta pihak berkenaan membantu mereka sama ada kanak-kanak itu diberikan bantuan bulanan atau dijaga oleh agensi yang berkenaan.
Katanya, dia juga mempunyai anak yang masih dalam tanggungan dan tinggal di rumah sewa.
“Kalau sehari dua kami masih boleh menjaga mereka, tetapi kalau berterusan, kami tak mampu kerana kami bukan orang senang, pendapatan pun tidak menentu.
“Jadi, kami harap pihak yang berkenaan melihat keadaan mereka dan memberikan bantuan yang sesuai atau menempatkan mereka di tempat yang sesuai untuk kanak-kanak pada usia mereka,” katanya.-UTUSAN










