ARAU: Pas yakin wakil rakyatnya tetap setia dan tidak mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun ditekan daripada pelbagai aspek termasuk tidak menerima peruntukan.
Pada masa sama, Pas percaya tindakan beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri bukan atas kerelaan hati, sebaliknya terpaksa akibat ditekan khususnya melibatkan peruntukan di kawasan masing-masing disekat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, di peringkat Pas, beliau yakin ahli Parlimen parti itu sama sekali tidak menyokong Perdana Menteri meskipun terus ditekan.
Beliau mengakui melihat trend ahli Parlimen PN mula beralih arah menyatakan sokongan kepada Anwar, namun mempersoalkan apakah mereka benar-benar ikhlas atau hanya terpaksa.
Ujarnya, tindakan kerajaan menekan ahli Parlimen pembangkang dengan tidak memberikan peruntukan tidak mematahkan semangat, sebaliknya rakyat akan terus menilai tindakan tersebut.
“Pertamanya, saya rasa yang mengambil keputusan menyokong Perdana Menteri bukan atas kehendak mereka, sebaliknya ditekan untuk rakyat di bawah apabila peruntukan disekat.
“Ada dalam kalangan ahli Parlimen PN itu dilihat terpaksa beralih arah bagi mendapat peruntukan untuk rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.
Sebelum ini Ahli Parlimen dari PN dari Bersatu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan), Mohd. Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) dan Zahari Kechik (PN-Jeli) menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri.
Malah, difahamkan lebih ramai ahli Parlimen PN yang bakal menyatakan sokongan terhadap Anwar selepas ini.
Sementara itu, Hashim berkata, tindakan ahli Parlimen PN menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri itu tidak menjejaskan gabungan tersebut ,sebaliknya bakal memberi kelebihan apabila rakyat boleh menilai tindakan kerajaan yang tidak memberikan peruntukan.
“Bagi Pas, meskipun kami ditekan, kita akan terus cekal sama sekali tidak akan berganjak untuk menyokong Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN











