Unimas tubuh pusat pembelajaran di Subang Jaya

Unimas tubuh pusat pembelajaran di Subang Jaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menubuhkan pusat pembelajaran keempatnya di Subang Jaya Selangor sebagai bukti komitmen sebuah universiti awam dalam memberikan perkhidmatan pendidikan tinggi yang terbaik di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Unimas Business School, Prof. Dr. Puah Chin Hong berkata, Unimas Kuala Lumpur Learning Centre yang mula beroperasi sepenuhnya pada 2 Ogos tahun lalu merupakan pusat pembelajaran keempat selain di Sibu, Miri dan Kota Kinabalu.

Katanya, pembukaan pusat pembelajaran tersebut memberi peluang kepada pelajar di Semenanjung melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana doktor falsafah melalui kursus-kursus strategik yang disediakan Unimas tanpa perlu ke kampus utama di Kota Samarahan Sarawak dengan fasiliti lengkap bagi mewujudkan suasana pembelajaran kondusif.

“Tenaga pengajar bagi kursus lepasan Ijazah ini dikendalikan sepenuhnya oleh para pensyarah dari Unimas dan kelas diadakan pada hujung minggu sahaja.

“Jadual kuliah yang efektif ini membuka peluang kepada individu yang bekerja untuk merancang masa tanpa mengganggu waktu bekerja dan sangat fleksibel,” katanya dalam satu kenyataan.

Unimas Kuala Lumpur Learning Centre di Subang Jaya ini dikendali oleh rakan strategik Grand International Academy (GIA) dalam pengurusan program, pemasaran dan menyediakan kemudahan fasiliti serta infrastruktur untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

Dalam pada itu, Pengarah GIA, Datuk Dr. Wong Say Ho berkata, lokasi strategik sekitar Subang Jaya menjadikan pusat pembelajaran tersebut pilihan utama pelajar selain kemudahan akses seperti light rapid transit (LRT) dan kedai makan selain kawasan diiktiraf kawasan akademik menjadikan lokasi sekitar ini menyediakan fasiliti yang terbaik.

“Fasiliti yang kondusif di pusat pembelajaran ini sendiri memberikan keselesaan kepada semuanya.

“Diharapkan dengan pembukaan Unimas Kuala Lumpur Learning Centre menjadi penggerak sokongan kepada kapasiti Unimas sebagai sebuah universiti awam berkotemporari dan terus komited untuk merancakkan hab pendidikan tinggi dan penawaran kursus jangka pendek terutama di Semenanjung,” katanya.

Kursus-kursus yang ditawarkan juga telah mendapat akreditasi penuh daripada pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Antaranya: 

*. Sarjana dalam Pengurusan Teknologi Maklumat (MITM)

*. Sarjana Korporat dalam Pentadbiran Perniagaan (CMBA)

*. Sarjana Sains dalam Pembangunan Sumber Manusia (MSc HRD)

*. Sarjana Sains dalam Pembelajaran Sains (MSc LS)

*. Doktor dalam Pentadbiran Perniagaan (DBA). –UTUSAN

 

HABIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN