KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menganjurkan The eBorneo Knowledge Fair (eBKF) yang sebelumnya dikenali sebagai eBario Knowledge Fair yang merupakan adalah persidangan berfokuskan komuniti.
Persidangan yang diadakan saban tahun itu dianjurkan Institut Informatik Sosial dan Teknologi Inovasi Unimas merupakan platform acara yang dinantikan oleh para akademia dan komuniti setempat di kawasan tanah tinggi Borneo.
Menurut kenyataan Unimas, persidangan pada tahun ini diadakan di bandar raya Miri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Miri di MCC Lutong Community Library dan MYY Mall Miri.
“Persidangan ini memberi fokus dan pendedahan terhadap pengetahuan pameran, menonjolkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang inovatif untuk memacu pembangunan dalam komuniti luar bandar di kawasan yang terpencil,” kata kenyataan tersebut.
Persidangan tersebut lazimnya tertumpu kepada masyarakat Borneo, tetapi prinsip dan kaedahnya boleh digunakan secara meluas.
Pendekatan dan perkongsian yang diterapkan dalam eBKFtermasuklah perkongsian ilmu dan kerjasama, meningkatkan literasi digital, memupuk peluang penyelidikan, menggalakkan penyertaan komuniti, mempromosikan budaya dan tradisi tempatan, peluang pembelajaran terlibat dan perayaan muzik dan tarian Orang Asli.
Pameran Pengetahuan itu bertujuan untuk mencapai kesan ketara melalui penyelidikan, memberi manfaat kepada masyarakat, menyebarkan amalan profesional, dan memacu pembaharuan dasar di peringkat kebangsaan.
Penganjuran persidangan ini menyumbang kepada pembangunan tempatan dengan meningkatkan sumber pendapatan komuniti tempatan.
Selain itu, integrasi persidangan dengan pelancongan berasaskan komuniti membolehkan pelawat menyelami budaya dan suasana tempatan, persekitaran dan gaya hidup seharian.
Melalui persidangan eBKF ini, para penyelidik mendapat pengalaman bersifat interaktif dalam meningkatkan kualiti penyelidikan, amalan profesional, dan penggubalan dasar, untuk mendapatkan hasil serta keputusan yang efektif.
Bukan sekadar persidangan, eBKF2023 turut mengadakan aktiviti pembersihan kawasan pantai bersama-sama peserta dan sukarelawan Unimas.-UTUSAN