KOTA BHARU: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memaklumkan beliau berlapang dada sekiranya ada pihak yang bersungguh-sungguh mahu membeli kelab tersebut namun tetap perlu menunjukkan proof of fund.
Norizam berkata, bagaimanapun setakat ini belum ada pihak yang betul-betul memberikan bukti tersebut kepada beliau sedangkan ia merupakan perkara paling penting jika berhasrat untuk memiliki kelab bola sepak berkenaan.
Katanya, keperluan menunjukkan bukti dana itu merupakan pesanan daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kepadanya bagi memastikan kemampuan pemilik mengendalikan sesebuah kelab bola sepak.
“Saya berlapang dada kalau sungguh-sungguh nak beli tetapi setakat ini tak ada yang betul-betul berikan proof of fund. Sebab pemilik baharu perlu ditapis kemampuannya oleh MFL juga.
“Mereka (MFL) pesan kepada saya, kalau ada yang nak ambil alih berikan bukti dana dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Beliau memberitahu empat pihak yang menyatakan minat mengambil alih TRW setakat ini adalah usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali Datuk Seri Vida; pemilik Erfan Gym and Fitness, Erfan Akif Ruslan; peguam, Kamal Hisham Jaafar dan seorang individu yang enggan dikenali.
Berkenaan nilai pasukan Kelantan FC pada ketika ini, beliau menegaskan ia soal kedua kerana perkara paling penting sekali adalah menunjukkan bukti kemampuan mereka sepertimana diminta oleh pihak MFL.
“Kalau anda ambil sejarah masa Liga Perdana, saya beli Kelantan FC dekat RM7 juta. Jadi sekarang dah di Liga Super, at least saya nak lepaskan kenalah lebih sikit nilainya.
“Tapi kalau ada RM3 juta dahulu pun boleh. Yang penting ada bukti miliki dana untuk bertahan kerana kos perbelanjaan bulanan kena ambil kira,” tegasnya. – UTUSAN










