Tiga suspek rompakan bersenjata di Kuala Kangsar ditangkap di Shah Alam - Utusan Malaysia

Tiga suspek rompakan bersenjata di Kuala Kangsar ditangkap di Shah Alam

TANGKAP layar video kejadian rompakan berhampiran sebuah kedai emas di Kuala Kangsar, Perak semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes rompakan barang kemas bernilai RM1.4 juta di tempat letak kereta berhampiran kedai emas di pekan Kuala Kangsar, di sini semalam,

Lelaki warga tempatan berusia 20 hingga 50 tahun itu ditangkap di Shah Alam, Selangor pada pukul 2.10 petang, kira-kira tiga jam selepas kejadian rompakan itu dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, ketika tangkapan dibuat, pihaknya tidak menemukan sejumlah barang kemas yang dilarikan suspek.

“Buat masa ini, barang kemas itu masih belum dijumpai. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan barang kemas bernilai RM1.4 juta yang dilarikan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, permohonan reman terhadap kesemua suspek dijalankan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Isnin depan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata,” katanya.

Semalam, media melaporkan rompakan dilakukan tiga penjenayah bersarung muka yang bertindak menyerbu sebuah kereta dinaiki dua jurujual syarikat emas sebelum memecahkan cermin kenderaan menggunakan tukul dan parang.

Kejadian yang dilaporkan sekitar pukul 11.22 pagi itu berlaku di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran sebuah kedai emas di pekan Kuala Kangsar.

Ketika kejadian, dua lelaki berusia lingkungan lewat 30-an itu baru sahaja keluar dari kereta selepas meletakkan kenderaan di petak parkir.

Terdahulu tular di media sosial X, satu rakaman video berdurasi 21 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki berpakaian serba hitam dan sarung muka melarikan beberapa beg mengandungi barang kemas dari kereta mangsa.

Video yang dirakam oleh orang awam itu menunjukkan suspek melarikan diri menggunakan dua kenderaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya