PETALING JAYA: Ketua Polis Negara mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berhubung penularan satu rakaman video perbualan lucah antara seorang lelaki dengan seseorang yang mirip Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dalam media sosial.
Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima laporan daripada mana-mana individu setakat ini.
“Tiada lagi laporan setakat ini, namun, penularan itu sudah ada dalam pengetahuan kita (polis),” katanya.
Terdahulu, video berdurasi tiga minit tiga saat itu dikongsikan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard menerusi akaun aplikasi Tik Tok miliknya.
Menerusi rakaman video itu boleh didengar secara jelas perbualan sesama lelaki itu melalui panggilan video seperti pasangan kekasih yang sedang ‘memancing’ untuk melakukan hubungan intim.
Menjengah ruangan keterangan video berkenaan, Che’gu Bard mempersoalkan adakah lelaki dalam video itu adalah Pengarah J-KOM lantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan meletakkan jawatan hari ini.
Sementara itu, memetik laporan media sebelum ini, Mohammad Agus mengesahkan menghantar surat peletakan jawatan.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada Perdana Menteri semalam.
Katanya, keputusan berkenaan dilakukan berikutan beliau menerima tawaran pekerjaan baharu dan bukan disebabkan tekanan oleh mana-mana pihak.-UTUSAN