IPOH: Mangsa buli perlu berani tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa tanpa mengira latar belakang pembuli.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, ini untuk memastikan kejadian itu tidak menular sehingga menyebabkan berlakunya pertikaian.
“Mangsa buli kena beranikan diri untuk membuat laporan atau aduan kepada pihak berwajib khususnya kepada warden, pengetua atau guru besar supaya tindakan awal boleh diambil.
“Tiada kompromi bagi mereka (pembuli) yang melakukan kesalahan dan sewajarnya menerima hukuman yang setimpal.
“Tiada kompromi, maksudnya yang salah tetap salah. Mereka sepatutnya menerima hukuman yang setimpal dengan apa yang mereka lakukan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Angkat Sumpah Jawatan Ahli Dewan Belia Negeri Perak sesi 2023/2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai kejadian buli melibatkan pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK menyelar tindakan ahli keluarga pelajar yang menularkan kejadian buli di sekolah berkenaan kerana dianggap memberi imej buruk kepada MCKK.
Khairudin meminta pihak luar tidak membuat andaian-tertentu kes tersebut kerana ia sudah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan.
“Biar pihak berkuasa atau pihak berkenaan seperti polis, pihak sekolah, atau Kementerian Pendidikan sendiri melakukan siasatan dan akan melaksanakan penilaian atau tindakan berdasarkan apa yang disiasat,” katanya.
Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Belia Negeri Perak hari ini.
Khairudin berkata, pemilihan Speaker berdasarkan latar belakang pendidikan, kebolehan dan pengalaman.bagi memastikan Speaker dapat menentukan hala tuju dan perjalanan persidangan. – UTUSAN